klpost

Kematian remaja, 3 lelaki ditahan

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Melaka
– Tiga lagi individu berjaya ditahan polis bagi membantu siasatan susulan kematian seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat yang meninggal dunia di Hospital Melaka, di sini, Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim, berkata suspek pertama berusia 35 tahun ditahan di Kampung Segenting Baru, Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan pada jam 8.30 malam tadi.

Beliau berkata, suspek kedua yang juga bapa saudara mangsa berusia 32 tahun ditahan di Plaza Tol Senawang, Negeri Sembilan, jam 12.30 tengah hari tadi.

“Suspek ketiga berusia 38 tahun pula ditangkap di depan sebuah restoran di Lebuh Ayer Keroh, Melaka jam 2.35 petang tadi.

“Setakat ini, polis sudah mendapatkan perintah tahanan reman ke atas suspek pertama selama tujuh hari mulai hari ini, manakala akan memohon perintah reman untuk suspek kedua dan ketiga, pagi esok,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

BH sebelum ini melaporkan seorang pelajar Tingkatan Empat, M Arunasalam, 16, yang dirawat di zon merah Hospital Melaka, disahkan meninggal dunia selepas diberi bantuan pernafasan selama kira-kira 30 minit.

Pemeriksaan pegawai perubatan ke atas mangsa bagaimanapun menemui kesan lebam dan birat di kedua-dua belah tangan serta belakang badan mangsa, selain tidak pengenalan diri ditemui.

Terdahulu, mangsa ditemui oleh orang awam di sebuah hentian bas di Ayer Keroh, sebelum dibawa ke Jabatan Kecemasan hospital terbabit.

Sejak Selasa lalu, tiga video berdurasi kira-kira seminit setiap satu tersebar di Facebook memaparkan seorang remaja lelaki dipukul kerana dipercayai mencuri wang datuknya.

Dalam video itu, remaja yang tidak berbaju berkenaan dilihat dipukul menggunakan getah paip sambil beberapa kali merayu dan menangis.

Kamaluddin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – BH Online