klpost

Kekejaman dan salahguna PDRM perlu dihapuskan

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Ketua polis negara, Tan Sri Ismail Omar telah cuba menyakinkan rakyat jelata bahawa anggota polis bawahannya telah menjalankan tugas mereka dengan baik, manakala para pemimpin Umno pula asyik mengecam rakyat yang seringkali mengkritik pihak polis.

Masalah utama di sini bukannya cara masyarakat umum menilai prestasi Polis Di Raja Malaysia (PDRM) tetapi lebih kepada segala tindak tanduk PDRM itu sendiri yang telah banyak membangkitkan persoalan sama ada PDRM itu benar-benar efektif dan kenapa sehingga pada hari ini kerajaan pusat sangat takut dan enggan membentuk Suruhanjaya Aduan Dan Salahlaku Polis (IPCMC) seperti yang disyorkan oleh Suruhanjaya Di Raja Bagi Penambahbaikan PDRM.

Banyak kita telah dengar dan saksikan, daripada kes merogol, ketuk ketampi berbogel sewaktu dalam tahanan sehinggalah penyalahgunaan kuasa dan kematian mengejut tahanan-tahanan di dalam balai polis, tugas dan tanggungjawab PDRM kini dipersoal bukan sahaja oleh parti-parti pembangkang, malah rakyat turut bangkit membantah dan menentang secara terbuka ekoran siri kekejaman PDRM yang semakin berleluasa dan tidak dapat dikawal lagi.

Pada tahun yang lalu, Tan Sri Ismail telah menyeru masyarakat umum agar mengemukakan cadangan yang bernas bagaimana kadar jenayah dalam negara ini dapat dikurangkan. Sungguh aneh, bukankah tugas dan tanggungjawab ini sepatutnya dipikul oleh para pegawai-pegawai tinggi PDRM di Bukit Aman? Kenapa pula rakyat diheret ke dalam kancah tersebut?

Yang lebih pelik adalah baru-baru ini , Tan Sri Ismail telah mendakwa bahawa 26 bentuk inisiatif PDRM di bawah program NKRA telah menunjukkan pencapaian positif dengan rakyat jelata telah “tampil” ke hadapan untuk menawarkan diri mereka untuk menyumbang kepada usaha pencegahan jenayah. Jadi, apa gunanya membayar gaji kepada puluhan pegawai-pegawai tinggi PDRM yang berpangkat persuruhjaya polis di Bukit Aman?

Dan jikalau benar rakyat jelata telah tampil ke hadapan untuk membantu PDRM di dalam usaha pencegahan jenayah, apakah PDRM buat untuk membalas jasa baik rakyat? Bagaimana Tan Sri Ismail dapat menjelaskan beberapa siri kematian yang seringkali berlaku di dalam lokap polis dan ketidakyakinan rakyat jelata terhadap PDRM yang semakin meningkat?

Kes yang terbaru, iaitu pada 13 Ogos 2012 yang lalu, seorang mangsa yang bernama Cheah Chin Lee yang berumur 36 tahun, mempunyai pekerjaan yang tetap dan berkeluarga telah didapati mati secara tiba-tiba sewaktu beliau berada di dalam tahanan Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di Jalan Petani, Georgetown, Pulau Pinang.

Siasatan dan bedah siasat PDRM mendapati Cheah telah mati di dalam lokap akibat membunuh diri dengan cara menggantung dirinya di dalam lokap tersebut. Ahli keluarga Cheah membantah dan mempersoal kenapa Cheah perlu membunuh diri sedangkan beliau hanya ditahan pada jangkamasa tidak sampai lima jam? Dapatkah ketua polis negara menjelaskan apakah sebenarnya telah berlaku pada hari tersebut?

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh PDRM, seramai 147 orang telah mati sewaktu berada di dalam tahanan polis di antara Januari 2000 hinggalah Februari 2010. Angka kematian tersebut terdiri daripada 64 Melayu, 30 berbangsa Cina, 28 kaum India, 8 orang dari kalangan lain-lain bangsa dan 14 orang warga asing. Tetapi statistik tersebut tidak pula menjelaskan sebab-sebab kematian di dalam tahanan yang begitu ramai sekali.

Dengan statistik yang telah mendedahkan keadaan sebenarnya yang sedang berlaku, dapatkah Tan Sri Ismail mempertahankan dakwaan kononnya keselamatan pihak umum adalah keutamaan PDRM?

Kekejaman dan salahguna PDRM perlu dihapuskan

Pegawai tertinggi PDRM juga boleh menyalahgunakan kuasa mereka. Contoh yang paling ketara adalah bekas ketua polis negara, Tan Sri Rahim Noor yang kini telah menjadi seorang “tokoh korporat” di dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Setelah beliau memberikan satu tumbukan yang kuat terhadap bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyebabkan mata beliau menjadi lebam pada tahun 1998, Tan Sri Rahim memberanikan diri dengan mengatakan bahawa Datuk Seri Anwar telah mencederakan dirinya sewaktu berada di dalam tahanan polis.

Malah bekas perdana menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad turut menyokong kenyataan Tan Sri Rahim pada masa itu

Pada 26 Mei 2011 yang lalu, seorang pelajar berbangsa India berumur dalam 20an, S. Ganesan telah dibelasah teruk dan dicaci dengan kata-kata perkauman oleh anggota-anggota polis yang menahannya pada satu sekatan jalanraya di Rembau, Negeri Sembilan. Setelah dibelasah, Ganesan diberikan amaran keras oleh beberapa pegawai polis agar tidak mendedahkan kejadian tersebut sebelum beliau dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

Pada tahun yang sama juga, seorang aktivis wanita Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan telah dipaksa untuk membogelkan dirinya di hadapan anggota-anggota polis lelaki. Selain dari itu, 36 ornag aktivis PSM yang laim turut ditahan tanpa sebab, dibelasah, dimaki dan dicaci oleh anggota-anggota polis yang bertugas.

Tidak kurang daripada itu, terdapat juga laporan anggota-anggota polis mencabul kehormatan tahanan-tahanan wanita di Kepala Batas, Pulau Pinang dan Ipoh, dan apabila aduan disampaikan, pegawai-pegawai penyiasat polis tersebut memaklumkan bahawa siasatan terhadap salahlaku polis tersebut akan mengambil masa selama 6 bulan.

Pada November 2011, seorang akauntan bertauliah yang berumur 39 tahun telah mengemukakan aduan yang beliau diperkosa oleh beberapa anggota polis, tiba-tiba mendapati dirinya ditahan di dalam lokap polis dan akan didakwa di atas satu “kesalahan” yang dilakukannya 7 tahun yang lalu. Apakah ini masuk akal?

Pada tahun 2009, seorang konstabel polis telah membelasah seorang suspek, A.Kugan sehingga mati sewaktu di dalam tahanan dan anggota polis itu hanya didenda dan dibebaskan oleh mahkamah pada tahun 2011.

Pada 18 Jun 2008, seorang anggota polis yang sedang bertugas di balai polis Putra Heights telah merogol seorang gadis belasan tahun setelah teman lelakinya ditahan kerana menunggang motosikal tanpa lesen.

IPCMC bukan lagi satu pilihan

Dengan laporan kematian dalam tahanan yang terbaru , kerajaan pusat yang diterajui oleh Barisan Nasional (BN), khususnya Umno telah kehabisan modal dan sebab-sebab untuk menghalang pembentukan IPCMC.

Pembentukan IPCMC itu bukan lagi suatu pilihan, tetapi ianya telah menjadi satu kemestian memandangkan tekanan daripada masyarakat umum kian meningkat. Kerajaan pusat BN sudah tidak ada lagi alasan untuk cuba melenyapkan IPCMC.

Daripada tahun 1999 hinggalah 2003, terdapat lebih daripada 5800 bentuk aduan salahlaku dan jenayah terhadap PDRM dan ianya juga telah disyorkan agar prestasi PDRM perlu dipantau oleh sebuah badan bebas.

Pada tahun 2005, laporan setebal 634 mukasurat yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Di Raja Bagi Penambahbaikan PDRM telah mendapati pihak polis sememangnya kejam, tidak berperikemanusiaan dan merupakan antara agensi kerajaan yang paling rasuah di dalam negara ini.

Pembentukan IPCMC sememangnya tidak dapat dielakkan lagi. Sehingga pada hari ini, pihak polis sendiri yang menyiasat kesalahan dan jenayah yang dilakukan oleh anggota polis dan kami percaya majoriti kes-kes tersebut telah dan akan ditutup dengan begitu sahaja dengan harapan orang ramai akan mudah lupa.

Menteri dalam negeri dan naib-presiden Umno Datuk Hishammuddin Hussein turut cuba untuk mengelak daripada pembentukan IPCMC dengan memberikan alasan yang IPCMC itu tidak kena pada masanya dan ianya tidak akan membantu penambahbaikan PDRM. Jadi, apakah langkah-langkah yang paling sesuai mengikut budaya ala-Umno?

Rakyat tidak mudah lupa seperti yang sedang dialami oleh Dr Mahathir sendiri. Ingatan rakyat jelata mengenai kekejaman dan salahlaku polis masih jelas terpapar.

IPCMC kini adalah satu kemestian dan ia adalah keputusan rakyat yang muktamad.

By  –  is a Social and Political Analyst, Director of Inter-Research And Studies (IRAS) and regularly writes political and current affairs commentaries for an online news portal. Asides, he also frequently blogs on political reforms, current affairs, education, race relations and giving various commentaries on news highlights. viktorwong-socialaffairs

The Kuala Lumpur Post is not responsible for the content and we do not accept any responsibility for any statement in the material or the article above. The Kuala Lumpur not associate with any blogs or news portal as such we are not responsible for the article publish above.