SK

Kekecewaan masyarakat India di bawah pemerintahan Barisan Nasional dan MIC

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Jumlah penduduk etnik India pada tahun 2010 terdiri daripada 7.3% daripada 28.3 juta, akan tetapi pada masa yang sama etnik India mempunyai kadar enrolmen pelajar yang paling rendah dan kadar penggangguran yang paling tinggi. Situasi ini menggambarkan betapa genting keadaan kumpulan etnik India dalam negara. Kumpulan etnik India juga memghadapi masalah terlibat dalam jenayah yang tinggi berbanding kumpulan etnik yang lain.

Jadual 1: Populasi Mengikut Etnik Di Malaysia2010

Hak dan situasi kumpulan etnik India menjadi topik perbualan panas di kalangan masyarakat India, terutamanya mengenai hak kewarganegaraan dan pendidikan masyarakat India.

Baru-baru ini, Malaysian Indian Voice (MIV) memberi ikrar bahawa MIV akan bekerja keras membantu Pakatan Rakyat (Pakatan) untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) agar gabungan parti itu dapat membela nasib etnik India.  Nasib etnik India di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) telah menyebabkan jurang perkauman yang bersifatkan diskriminasi sistematik yang ketara di antara kumpulan etnik utama negara di samping jurang keadilan saksama dalam etnik yang sama juga semakin besar menyebabkan kehidupan kumpulan etnik India sebagai minoriti semakin nyata dan ketara.

Kerajaan BN telah melancarkan polisi-polisi negara yang seringkali mengabaikan hak dan keperluan serta kehendak kewujudan kumpulan etnik India. Sering kali golongan ini tercicir dalam dasar-dasar pembangunan kerajaan BN.

Pada April yang lalu, Perdana Menteri Najib Razak menggesa masyarakat India meletakkan “Nambikai” (kepercayaan) dan harapan pada kerajaan agar perkongsian kumpulan etnik India dan kerajaan dapat menghasilkan sesuatu yang positif dan konkrit ke arah membina sebuah wawasan untuk masa depan mereka.

Kenyataan Perdana Menteri mencerminkan kegagalan objektif penubuhan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Hal Ehwal Masyarakat India (Jawantankuasa Khas) selepas PRU-12. Selepas mengalami tamparan besar daripada masyarakat India ketika PRU-12, Kerajaan BN berusaha sedaya upaya untuk mengambil hati kumpulan etnik India. Jawantankuasa Khas tersebut pada mulanya dipengerusikan oleh Najib untuk mencerminkan imej beliau sebagai peminpin yang demokrasi, bebas, berpandang jauh dan berwawasan, di mana beliau berjuang untuk kumpulan etnik india membangun bersama-sama etnik yang lain. Akan tetapi, ia dapat dilihat bahawa, itu hanyalah sebuah retorik pada pihak beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Penubuhan Jawatankuasa Khas menunjukkan usaha kerajaan Najib untuk menangani masalah etnik India, Presiden Malaysian Indian Congress (MIC) juga telah mengutarakan beberapa isu sosial, ekonomi dan pendidikan membabitkan kumpulan etnik India yang telah berlanjutan dengan sekian lamanya dan mengalami penangguhan, kini selesai hasil campur tangan Perdana Menteri. Namun begitu, Najib yang memperjuangkan konsep kesederhanaan atau wasatiyyah, tiba-tiba menggunakan perkataan “Nambikai” kepada masyarakat India. Ini terbukti bahawa masyarakat India di negara kita telah hilang “Nambikai” terhadap MIC dan Barisan Nasional. Selepas empat tahun, masyarakat india menyedari dan melihat Jawatankuasa Khas tersebut sebagai retorik, dilancarkan untuk mempromosi imej Najib.

Kekecewaan masyarakat India di bawah pemerintahan BN termasuk pengalaman bahawa kerajaan selama-lamanya tidak serius dalam menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh etnik India, termasuk masalah kewarganegaraan, pendidikan, kemisikinan. Mereka berlakon seolah-olah tidak nampak masalah sebenar yang dihadapi oleh masyarakat India di negara ini. Disebabkan pengabaian kerajaan BN, telah menyebabkan etnik India menghadapi pelbagai tekanan hidup sosio-ekonomi selama semenjak negar berada di bawah pemerintahan kerajaan BN.

Kerajaan BN ulangi muslihat PRU-12

Baru-baru ini, Pengerusi MIC mengumumkan bahawa Najib akan mempengerusikan persidangan rundingan meja bulat inisiatif memperkasakan ekonomi masyarakat India sekitar lewat Jun atau awal Julai tahun ini. Dalam persidangan ini, Najib akan melakukan sesi percambahan fikiran dengan kira-kira 100 profesional dalam agensi kerajaan dan swasta bagi merumuskan pelan tindakan jangka sederhana dan panjang untuk meningkatkan status sosio-ekonomi etnik India. Menjejaki langkah PRU-13 yang semakin hampir, persidangan ini dilihat sebagai muslihat Kerajaan BN yang selama ini mengabaikan masalah masyarakat India, bertujuan untuk mengambil hati pengundi India dengan harapan undi India mudah diperolehi.

Undi masyarakat India selamanya disifatkan sebagai “deposit selamat” kerajaan BN dan MIC dalam setiap pilihan raya umum yang biasanya mencacatkan peratusan sokongan sehingga 80% hingga 85% telah gagal dipertahankan pada PRU ke-12 sehingga tersungkur sebanyak 47%, umpamanya bekas Presiden MIC S. Samy Vellu yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput yang diwakilinya sejak tahun 1974, setelah dikalahkan oleh Dr Michael Jayakumar Devaraj atau lebih dkenali sebagai Dr Kumar di bawah payung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) semasa PRU-12. Kawasan tersebut memiliki 23% pengundi India. Keadaan ini memaksa BN mula memberi perhatian kepada tuntutan-tuntutan masyarakat India.

Walaupun etnik India merupakan minoriti di dalam negara ini, namun berikutan kekuatan Pakatan kini setanding dengan kekuatan BN, setiap undi akan menjadi undi penting khususnya undi masyarakat India yang dikatakan boleh menentukan kemenangan calon-calon yang bertanding di hampir 60 kawasan parlimen nanti.

Jadual 2:Statistik KPRU: Pengundi Pendaftaran Baru Dan Pecahan Berdasarkan Etnik Pada Tahun 2008 – 2011

Jadual 2 dibina oleh badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berdasarkan statistik yang dibekalkan dalam jawapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong semasa persidangan Dewan Negara pada 25 April 2012, bahawa seramai 2,270,002 pengundi baru didaftarkan dari tahun 2008 hingga tahun 2011. Pengundi etnik India baru tidak melebihi 10% dari tahun 2008 hingga tahun 2011, agak selari dengan populasi kumpulan etnik India di negara ini yang juga tidak melebihi 10%. Oleh itu, jumlah bilangan sebenar pengundi pendaftar baru tidak boleh dipandang rendah.

Status Kewarganegaraan Impian Masyarakat India

Walaupun negara sudah merdeka melebihi setengah abad, sebahagian masyarakat India masih gagal untuk menyelesaikan masalah kad pengenalan merah. Menurut kenyataan Naib Presiden KEADILAN, N Surendran, sekurang-kurangnya 300,000 masyarakat India yang lahir di negara ini hanya memiliki kad pengenalan merah atau hijau atau langsung tiada apa-apa dokumen pengenalan diri.

Seperti yang umum sedia maklum, kad pengenalan merah adalah untuk pemastautin tetap. Warganegara Malaysia memiliki kad pengenalan biru (Mykad). Pemegang kad pengenalan merah tidak mempunyai hak memilik harta, tidak dapat rawatan percuma di hospital, tidak dapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, tidak dapat mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan banyak lagi manfaat yang dberikan kepada warganegara.

Pada tahun lepas, Kerajaan BN melancarkan Program MyDaftar Masyarakat India pada 19 hingga 26 Febuari 2011. Program ini diadakan khusus untuk mengenalpasti jumlah sebenar masyarakat India yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan juga membantu masyarakat India yang menghadapi masalah berkaitan pendaftaran Sijil Kelahiran, Kad Pengenalan, Kewarganegaraan dan juga Pendaftaran Perkahwinan dan Perceraian.

Program ini hanya berlangsung selama 8 hari, justeru hanya boleh menangani sebahagian kecil masalah yang dihadapi oleh masyarakat India. Pencapaian program ini tidak memuaskan.

Jadual 3 menunjukkan bahawa walaupun borang yang keluar mencapai 14,835, tetapi sehingga tamat program, hanya 9,528 borang (64.2 peratus) telah dikembalikan semula untuk diproses. Jadual 3: Statistik KPRU: Perbezaan Antara Borang Keluar Dan Kembali – Sumber: KDN, dikemas oleh KPRU.

Jadual 4 menunjukkan dalam jumlah 9,528 borang ini, pemohonan yang paling tinggi merupakan permohonan taraf kewarganegaraan, sebanyak 6,527, iaitu 68.5%; 1,778 kes daftar lewat kelahiran (tidak mempunyai dokumen Sijil Kelahiran), iaitu 18.7%; 913 permohonan kad pengenalan, iaitu 9.6%; 222 permohonan untuk perkahwinan, iaitu 2.3% dan 88 permohonan pindaan maklumat dalam sijil lahir iaitu 0.9%. Jadual 4: Statistik KPRU: Jenis Permintaan Masyarakat India – Sumber: KDN, dikemaskini oleh KPRU.

Disebabkan kegagalan program MyDaftar Masyarakat India, etnik india yang tidak mengetahui program ini atau tidak sempat menyertai program ini masih dalam jumlah yang tinggi. Pada 20 Mei 2012, sebuah kumpulan etnik India mengadakan perhimpunan aman di hadapan Jabatan Pendaftaran Kulim, selepas ia diketahui birokrasi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melambatkan proses mendapatkan IC biru dah mengesahkan masyarakat India sebagai warganegara Malaysia.

Suatu lagi perhimpunan aman telah diadakan pada 19 April 2012 di hadapan pintu masuk Parlimen. Lebih kurang 100 orang kumpulan etnik India berhimpun bagi menuntut hak mereka agar diberikan status kewarganegaraan. Masalah seperti ini merupakan masalah yang serius melibatkan warga emas etnik India yang telah menetap di negara ini melebih setengah abad selepas merdeka tetapi sehingga sekarang masih memegang kad pengenalan merah.

Berdasarkan kepada pertanyaan lisan Dewan Negara bertarikh 8 Mei 2012, bilangan terkini pemegang Kad Pengenalan Merah sehingga 31 Mac 2012 adalah seramai 298,795 orang. Oleh sebab Kementerian tidak merekodkan pecahan etnik bagi pemegang Kad Pengenalan Merah, Jadual 5 hanya menunjukkan pecahan Kad Pengenalan Merah mengikut negara asal seperti berikut:

Jadual 5: Bilangan Pemegang Kad Pengenalan Merah Berdasarkan Negara Asal Jadual 5 menunjukkan sebanyak 55,758 berlahir di Malaysia masih memegang kad pengenalan merah. Apabila diambil kira pecahan etnik di negara ini, etnik India dipercayai mengambil bahagian yang besar dalam jumlah ini. – merdekareview