klpost

Kejadian nahas,kereta terpelanting jatuh di lorong tengah

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

pix_gal1Seremban – “Saya tengok dia (mangsa) teragak-agak memotong treler itu sebelum tiba-tiba terpelanting jatuh, dipercayai kepalanya terkena kayu yang terjulur keluar,” kata Muhammad Zulfadhli Zulkifli, 19, mengenai rakannya, Henry John Anthony, 26, yang maut dalam kemalangan di sini, semalam.

Mangsa bersama 29 rakannya berkonvoi menaiki 30 motosikal Honda Wave Dash dari Melaka menuju ke Klang, Selangor untuk menghadiri majlis perasmian sebuah kedai motosikal Honda di sana sebelum kemalangan.
Dalam kejadian jam 9.30 pagi di Kilometer 244.2, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, mangsa yang menetap di Taman Muzaffar Shah, Ayer Keroh, Melaka, maut di tempat kejadian akibat cedera parah.

Menurut Muhammad Zulfadhli, mereka bertolak dari Melaka jam 8 pagi dan menunggang dalam kelajuan sederhana antara 70 hingga 80 kilometer sejam.
Katanya, mangsa berada di tengah konvoi dan beberapa rakan lain sempat memintas treler sarat muatan kayu itu yang tidak berhenti sejurus selepas kejadian.
“Kejadian berlaku sekelip mata dan kami sungguh terkejut. Sejurus mangsa jatuh di lorong tengah, motosikalnya terseret ke lorong paling kanan.

“Kami berhenti dan segera mendapatkan Henry dan mendapati dia tidak bergerak, selain muka berdarah dan tangannya patah. Seorang rakan menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian,” katanya.
Katanya, susulan kejadian itu, mereka membatalkan hasrat berkonvoi ke Klang yang dirancang sejak seminggu lalu apabila menerima jemputan daripada penganjur.

“Saya berkawan dengan Henry sejak Oktober tahun lalu. Orangnya baik dan berperangai kebudak-budakan sedikit, menyebabkan dia mudah mesra dengan sesiapa saja.
“Saya tidak pasti dia memberitahu keluarganya mengenai rancangan kami berkonvoi, tetapi saya difahamkan ini pengalaman pertama dia berkonvoi sejauh ini,” katanya.
Sementara itu, pemandu Proton Waja, Safiq Azwan Aris, 24, berkata, ketika kejadian dia mengikuti bapa saudaranya, Yunus Sarpah, 42, ke Puncak Alam, Selangor untuk menghantar sepupu mendaftar ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan menaiki kereta berasingan.
“Saya bersama anak saudara, Hakim Yunus, 10, menaiki kereta Waja, manakala bapa saudara memandu kereta Honda. Kami bertolak dari Tangkak, Johor jam 8.30 pagi.
“Setiba di tempat kejadian, tiba-tiba sebuah treler memasuki lorong kanan menyebabkan bapa saudara membrek mengejut dan saya yang mengekori di belakang melanggar belakang keretanya.
“Bapa saudara terus ke Puncak Alam kerana urusan pendaftaran anaknya,” katanya yang bersyukur tidak cedera.
Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban ketika dihubungi berkata, siasatan awal pihaknya mengesyaki kemalangan berlaku apabila motosikal atau mangsa bergesel dengan treler terbabit, menyebabkannya terpelanting jatuh di lorong tengah, manakala motosikal terseret ke lorong kanan. – myMetro