klpost

Kebakaran pusat tahfiz: 7 remaja ditahan

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Kuala Lumpur
– Tujuh remaja, termasuk lima suspek utama dipercayai ditahan polis bagi membantu siasatan kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Dato Keramat, di sini, kelmarin.

Daripada tujuh yang ditahan, lima dipercayai penduduk kawasan berhampiran Kampung Dato Keramat yang berusia 16 hingga 18 tahun, manakala tiga lagi pelajar tahfiz berkenaan dipanggil bagi membantu siasatan.

Sumber berkata, penahanan dibuat hasil pemeriksaan satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah stesen minyak di Jalan Dato Keramat yang menunjukkan perbuatan suspek yang mencurigakan.

“Dalam rakaman itu terdapat kelibat dua lelaki menaiki motosikal Yamaha Lagenda membeli minyak petrol jam 1.30 pagi, beberapa jam sebelum kebakaran pusat tahfiz berkenaan,” katanya ketika ditemui BH, sebentar tadi.

Setakat ini, siasatan polis yang dikatakan menjurus kepada perbuatan khianat dan balas dendam sedang dijalankan bagi mendapatkan motif sebenar kejadian.

Difahamkan, pagi tadi beberapa pengakuan dibuat oleh suspek terbabit semasa mereka ditahan di lokap Balai Polis Jinjang.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi Khamis lalu, 23 pelajar termasuk dua guru pusat tahfiz berkenaan terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga banglo berkenaan yang menempatkan asrama pelajar.

Sebahagian mangsa ditemui rentung manakala beberapa lagi lemas akibat terhidu asap. Semua mangsa berusia antara enam hingga 16 tahun.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh tidak menafikan berhubung tangkapan itu namun enggan mengulas lanjut. – BH Online