klpost2

Kata SMS, ‘lebih baik bini mati’

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

AYER KEROH  –  Seorang bekas tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam kerana menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) mengugut mati kepada bekas isterinya, Jun lalu.

Tertuduh, Yusmi Mohd Yusof, 42, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah ke atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Harmi Thamri Mohamad @ Shaharuddin.

Berdasarkan pertuduhan, Yusmi didakwa mengugut hendak menyebabkan kematian kepada bekas isterinya, Rokiza Aman, 39, dengan menghantar SMS berbunyi: “Abang rasa lebih baik abang dan anak-anak mati minum racun. Lepas tu, Iza pula menyusul. Ini kata putus dari abang”.

Menurut Sinar Harian, tertuduh didakwa melakukannya semasa berada di sebuah rumah di Taman Maju, Jasin kira-kira jam 11.19 malam pada 20 Jun 2012.

Dia dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Badariah Yusof ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM4,000 selain mengenakan syarat tambahan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Yusmi merayu kepada mahkamah supaya wang jaminan dikurangkan dengan alasan dia hanya bekerja kampung selepas bersara sebagai anggota kerajaan selain perlu menyara dua anaknya berusia dua dan lapan tahun selepas bercerai dengan isterinya.

Selepas mendengar rayuan itu, Harmi Thamri kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dan mengarahkan supaya tidak mengganggu pengadu sehingga kes selesai.

Beliau turut menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 13 Februari tahun depan bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.