SK

Karpal Singh tidak harus menimbulkan sentimen perkauman

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR, (25 MEI) – Semua pihak seharusnya tidak menimbulkan sebarang sentimen yang dikhuatiri boleh menjurus ke arah jurang perkauman di negara ini dalam usaha mengekalkan perpaduan yang dinikmati sekarang.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Maliki Mohd Rapie berkata isu-isu seperti yang dibangkitkan oleh Penasihat DAP, Karpal Singh yang mencetuskan polemik bahawa Perdana Menteri bukan Melayu tidak sewajarnya berlaku atas apa jua alasan baik kepentingan politik dan sebagainya.

Tegas beliau, pada waktu sekarang ianya bukanlah masa yang sesuai untuk menimbulkan perkara berkenaan kerana seperti yang dikatakan tadi bahawa ianya dikhuatitri boleh menyumbang ke arah perpecahan sekaligus memecahbelahkan lagi negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

“Ini bukan soal parti dan sebagainya…. Ini melibatkan kontrak sosial. Dan kontrak sosial bergantung kepada sosial psikologi. Bagi memudahkan pemahaman sebagai contoh jika kita mahu makan nasi dagang dan keropok lekor tentunya negeri yang akan kita ingat Terengganu. Begitu juga kalau nak makan Laksa Penang, tentunya negeri Pulau Pinang.

“Samalah juga dengan kontrak sosial itu. Sejauh mana DAP boleh mengubah sosial psikologi yang saya sebutkan itu dan perumpamaan di atas perlu diperhalusi dengan mendalam oleh DAP.

“Karpal Singh sebagai pengamal undang-undang boleh bercakap sepertimana yang didakwa itu. Tetapi apakah beliau khususnya dapat mengubah sosial psikologi masyarakat di negara ini berhubung isu Perdana Menteri itu,“ katanya.

Dalam perkembangan tersebut, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib hari ini menegaskan bahawa beliau menentang sebarang usaha untuk melonjakkan kalangan bukan Melayu atau bukan Islam menerajui negara ini.

Harun diminta mengulas ketegasan Pengerusi DAP, Karpal Singh bahawa beliau akan terus berjuang bagi memastikan seorang bukan Melayu menyandang jawatan Perdana Menteri.

Karpal berkata, meskipun ketika ini pakatan pembangkang bersetuju bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon paling layak sebagai Perdana Menteri, beliau secara peribadi menganggap tidak ada undang-undang yang boleh menghalang jawatan itu disandang calon bukan Melayu.

Maliki seterusnya berpandangan jika benar sepertimana yang didakwa itu keluar daripada mulut Karpal, jelaslah kepada masyarakat umum bahawa ianya tidak lebih sekadar mainan serta strategi politik parti itu untuk mengaut keuntungan menjelangnya pilihan raya umum ke-13 nanti.

Tambahnya Karpal termasuklah pemimpin DAP yang lain boleh memberikan seribu satu alasan tetapi kesimpulannya isu tersebut hanyalah sekadar mainan politik mereka.

“Apa pun bagi saya ianya bukanlah waktu dan masa yang sesuai kerana seperti yang saya sebutkan tadi, ianya dikhuatiri boleh menjarakkan lagi jurang perkauman yang ada di negara ini,“ katanya.

Pada masa yang sama beliau melihat pendirian Pas dalam soal berkenaan menujukkan pakatan pembangkang yang terdiri daripada gabungan tiga parti tidak mencerminkan apa yang diwar-warkan.

“Kalau Dewan Ulama Pas dah buka mulut bukankah itu satu lagi petanda bahawa mimpi mereka berlainan walapun tidur sebantal dan makan bersama. Macammana nak terajui negara dan membela rakyat sedangkan perkara asas seumpama itu tidak mencapai titik noktah,” katanya. – MediaUMNO