Thursday , 2 October 2014

Kareena Kapoor mengandung anak Saif Ali Khan?

Professional valet service for all event
http://nusapark.com/

PASANGAN kekasih terhangat Bollywood saat ini, aktres Kareena Kapoor dan aktor Saif Ali Khan kini meraih label Brangelina versi Bollywood.

Brangelina merujuk kepada pasangan pelakon tersohor Hollywood, Brad Pitt dan Angelina Jolie yang sudah bercinta dan bersekedudukan tanpa sebarang ikatan pernikahan selama tujuh tahun.

Kareena dan Saif pula melakukan perkara yang sama sejak lima tahun yang lalu.

Tiada langsung perasaan malu dalam diri Kareena dilabelkan setaraf pasangan Brangelina atau lebih tepat dirinya kini diumpamakan sebagai Angelina Jolie versi Bollywood, khususnya daripada segi bersekedudukan tanpa nikah dengan kekasih hati.

Kareena sebaliknya bersikap terbuka mengenai perkara tersebut.

Ia ekoran gosip tersebar sejak beberapa bulan lalu mengatakan dia dan Saif bakal berkahwin sekitar bulan Oktober ini.

Malah tarikh perkahwinan mereka iaitu pada 18 Oktober ini sudah didedahkan kepada media baru-baru ini oleh ibu Saif sendiri iaitu aktres veteran legenda Sharmila Tagore.

Namun khabarnya pula, tarikh itu ditunda ekoran Saif dikatakan sibuk dengan projek filem terbaharu lakonannya, Go Goa Gone.

Laporan-laporan akhbar di India sebelum ini juga telah mendedahkan bahawa Saif sudah menghantar beberapa dokumen undang-undang di pejabat pendaftaran Bandra, Mumbai, India pada 12 September lepas bagi membolehkan dia mengahwini Kareena.

Mengikut undang-undang di India, bagi pasangan yang ingin berkahwin mereka perlu menghantar borang berkaitan sekurang-kurangnya sebulan awal bagi mendapatkan kebenaran perkahwinan.

Justeru, Kareena dan Saif dijangka akan berkahwin selepas 12 Oktober nanti.

Namun, kedua-dua Kareena dan Saif sehingga kini masih mengunci mulut mengenai tarikh sebenar perkahwinan mereka.

Kareena terutamanya, seumpama bermain teka-teki tentang perkara itu.

Ini kerana ketika ditemui wartawan di India dan ditanya mengenai tarikh sebenar perkahwinan itu baru-baru ini, Kareena secara sinis menegaskan bahawa dia sudah lama ‘berkahwin’ dengan Saif.

“Sudah lima tahun saya dan Saif tinggal bersama. Kami beli rumah dan menghias rumah itu bersama-sama. Saya juga sudah jumpa keluarganya dan semua orang tahu mengenai hal ini,” ujarnya.

Jelasnya lagi, perkahwinan mereka cuma masih belum ada pengesahan di atas kertas dan mereka akan melakukannya tidak lama lagi.

“Ertinya saya sudah berkahwin dengan Saif dan menjadi Puan Saif Ali Khan bukan suatu perkara baharu buat saya,” ujar Kareena yang baru-baru ini turut menerima ucapan tahniah daripada pasangan Brangelina berhubung perkahwinan mereka itu.

Tambah Kareena, dia langsung tidak mempunyai masalah dengan anak-anak Saif daripada perkahwinannya terdahulu.

Hasil perkahwinan Saif bersama aktres Amrita Singh sebelum ini memperoleh dua anak iaitu Ibrahim dan Sarah.

Katanya: “Saya menyayangi kedua-dua Ibrahim dan Sarah seperti mana mereka menyayangi saya.

“Ibrahim dan Sarah juga hormati saya. Mereka sedang membesar dan Sarah kelihatan sangat cantik.”

Isu tarikh perkahwinan Kareena dan Saif sebenarnya telah bertiup kencang sejak tahun lepas lagi, apabila pasangan itu dikatakan akan berkahwin pada bulan Februari atau Mac tahun tersebut.

Namun, mereka telah menundanya kerana ingin memberi tumpuan kepada penggambaran filem, Agent Vinod yang melibatkan mereka sebagai pelakon utama.

Sekarang ini timbul tarikh baharu pula. Kareena dan Saif dikatakan akan berkahwin pada 16 Oktober ini, tetapi Kareena pantas menafikan perkara berkenaan dengan berkata: “Sejak tahun 2009 sehingga kini, ramai pihak membuat spekulasi sendiri mengenai tarikh perkahwinan kami.”

“Jangan risau, jika kami benar-benar berkahwin, sudah pasti kami akan mengumumkannya kepada media dan peminat semua,” kata Kareena.

Walaupun sering diasak dengan pelbagai khabar angin mengenai tarikh perkahwinannya, Kareena tetap memberi tumpuan utama terhadap kariernya.

“Saya perlu bersikap profesional dan tidak mudah melatah. Industri hiburan pastinya mengundang pelbagai gosip dan anda perlu bijak menanganinya,” ujar Kareena.

Peluk Islam

Dalam perkembangan sama, setelah berkahwin nanti, Kareena dikatakan akan menukar namanya menjadi KKK atau Kareena Kapoor Khan.

“Saif tidak mahu saya mengubah apa-apa selepas berkahwin nanti termasuklah nama saya, tetapi saya tetap akan menggunakan nama Kareena Kapoor Khan,” ujarnya.

“Ia cukup bermakna buat saya kerana mempunyai dua nama keluarga hebat dalam industri perfileman Bollywood,” katanya seperti dilaporkan Times of India.

Ketika ditanya mengenai agama anutannya selepas berkahwin dengan lelaki Muslim itu, Kareena yang beragama Hindu menjawab dalam nada tegas: “Itu satu soalan yang salah. Saya tidak akan menjawabnya. Sebelum ini media melaporkan bahawa Saif tidak akan memaksa bakal isterinya untuk menukar agama asalnya.”

Spekulasi kehamilan

Mengenai karier lakonannya pula, selepas muncul dengan filem pecah panggung terbaharunya, Heroine, Kareena dikatakan menjadi pilihan penerbit tersohor di Bollywood, Sanjay Leela Bhansali untuk watak utama filem berjudul, Ram Leela.

Namun menurut laporan Times of India bertarikh 26 September lepas, Kareena tidak akan membintangi filem itu kerana dia dikatakan gagal memenuhi klausa kontrak lakonan untuk produksi filem di Bollywood.

Sumber memberitahu akhbar berkenaan: “Dalam klausa kontrak perfileman di Bollywood mensyaratkan pelakon wanita terutama bagi watak utama tidak boleh hamil sepanjang penggambaran sesuatu filem.”

“Justeru, adakah ini bermakna Kareena sudah hamil dan menjadi faktor kenapa dia tidak jadi membintangi filem terbaharu terbitan Sanjay Leela Bhansali, Ram Leela?

“Ini kerana soal angka bayaran lakonan sebelum ini tidak pernah menjadi penghalang kolaborasi antara Kareena dan Sanjay.” – Kosmo

Scroll To Top
banner