klpost

Kali terakhir negara kita menikmati lebihan bajet adalah pada tahun 1997 dan Barisan Nasional dengan Masalah 5D

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR : Rakyat sudah sedar bahawa UMNO dan Barisan Nasional telah membawa masalah besar kepada negara dengan amalan 5D, iaitu Deficit, Debt (hutang), Deceits (penipuan), Dictatorship (pemerintahan diktator) dan brain Drain (penghijrahan modal insan).

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, bukti gejala buruk 5D telah menyebabkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang kononnya yakin untuk mencapai kemenangan 14-0 dalam memenangi kesemua negeri dan wilayah persekutuan, tidak berani untuk membubarkan Parlimen.

“Jelas beliau tahu bahawa PR sudah berjaya memaklumkan rakyat bahawa kerajaan BN membawa gejala 5D. Malah lidah UMNO, New Straits Times, telah menyerang saya minggu lepas kerana saya telah membongkarkan gejala 5D.

“Namun begitu, saya mengakui bahawa sekadar memaklumkan rakyat tentang 5D ini tidak mencukupi. Apakah jalan penyelesaiannya? Cabaran besar PR adalah untuk meyakinkan rakyat bahawa PR boleh membanteras gejala 5D.

“PR percaya bahawa dengan membasmi rasuah dan korupsi kita berupaya untuk menangani gejala 5D,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Defisit dan hutang

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, Bajet tambahan 2012 berjumlah RM13.8 bilion baru-baru ini pula akan meningkatkan unjuran defisit RM45.9 bilion dalam bajet 2012 kepada jumlah besar RM59.7 bilion, iaitu defisit yang paling tinggi dalam sejarah Malaysia.

Katanya, sikap tidak bertanggungjawab dalam urusan kewangan oleh kerajaan BN dibuktikan apabila dana tambahan itu merangkumi peruntukan RM1.5 juta kepada setiap Ahli-ahli Parlimen BN tetapi Ahli-ahli Parlimen PR tidak mendapat satu sen pun.

Menurutnya, setakat 31 Mac 2012, hutang kerajaan berada di tahap RM470 bilion, dan jika dimasukkan defisit yang dijangka dalam bajet 2012, maka hutang kerajaan akan meningkat melebihi RM500 bilion di akhir tahun 2012.

Ini tidak pula mengambil kira peningkatan dalam liabiliti kontingen yang bernilai hampir RM110 bilion yang tidak termasuk dalam kunci kira-kira, tambahnya.

“Jika liabiliti kontingen ini ditambah kepada hutang rasmi kerajaan, maka hutang kita akan bertambah kepada RM600 bilion ataupun RM21,500 setiap seorang rakyat Malaysia!” ujarnya.

Anwar sebagai PM – Menurutnya, kali terakhir negara kita menikmati lebihan bajet adalah pada tahun 1997 semasa Anwar Ibrahim memegang jawatan Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri.

“Sejak 1997, kita telah mengalami defisit bajet selama 15 tahun berturut-turut. Oleh itu, kita mahu Anwar menjadi Perdana Menteri baru untuk memulihkan defisit bajet kepada lebihan bajet.

“Hutang kerajaan kita telah meningkat 5 kali ganda daripada RM89 bilion pada tahun 1997 kepada RM470 bilion setakat Mac 2012, berbanding dengan kenaikan KDNK hanya 3 kali ganda,” tambah beliau.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, berbeza dengan prestasi kewangan BN yang kurang baik, kerajaan-kerajaan negeri PR telah mencatatkan lebihan bajet setiap tahun dan juga mengurangkan hutang negeri.

Katanya, Pulau Pinang telah mengurangkan hutang sebanyak 95% atau RM600 juta daripada RM630 juta pada 8 Mac 2008 kepada RM30 juta pada akhir tahun 2011.

“Ini telah dicapai bukan dengan penipuan tetapi melalui pentadbiran bersih berdasarkan prinsip Cekap, Akauntabel dan Telus.

“Adalah jelas bahawa sistem tender terbuka, pendedahan kontrak kerajaan dengan sektor swasta, pengisytiharan harta secara terbuka dan disahkan oleh firma akauntan antarabangsa, serta Enakmen Kebebasan Maklumat telah berjaya membanteras rasuah,” ujarnya.

Menurutnya, negeri-negeri PR seperti Pulau Pinang telah pun membuktikan bahawa kerajaan bersih dan baik boleh menamatkan gejala 5D.

Penipuan, penghijrahan cerdik pandai Malaysia dan layanan istimewa kroni BN

Guan Eng menjelaskan bahawa penipuan dan kuasa diktator BN jelas akan membiarkan rasuah berleluasa dan menyebabkan penghijrahan modal insan yang lebih besar.

Tambah beliau, sejak Merdeka, lebih 2 juta rakyat Malaysia telah meninggalkan negara, dan apabila dasar visa kerja Australia baru-baru ini membenarkan graduan luar, temrasuk Malaysia, untuk terus menetap di negara itu selama 2-4 tahun, ia hanya akan mempercepatkan proses “brain drain” ini.

Justeru, katanya, serangan Najib kononnya PR menggalakkan budaya mungkir janji, tidak berterima kasih dan tidak melangsaikan hutang terbukti bohong kerana sebenarnya BN adalah parti yang memungkiri janji mereka.

Malah, menurut beliau, Najib membiarkan golongan pelampau menekan kaum-kaum minoriti melalui penindasan dan penganiayaan terhadap Pengerusi Bersama Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan di rumahnya dengan gerai burger lembu yang didirikan secara haram, tarian punggung oleh veteran tentera dan seruan untuk meghukum mati Ambiga kerana kononnya derhaka.

Menurutnya, Ambiga adalah sasaran mudah kerana beliau seorang Hindu, India dan wanita yang hanya berjuang untuk pilihan raya yang adil, bebas dan bersih.

Guan Eng turut membidas Najib yang mahu memaksa rakyat berterima kasih kepada BN, padahal sepatutnya UMNO dan BN yang harus berterima kasih kepada rakyat kerana mengundi mereka.

“Tambahan, Najib tidak layak untuk bercakap tentang pelangsaian hutang apabila hutang berbilion-bilion ringgit yang diambil oleh kroni-kroni UMNO daripada bank-bank tempatan dalam skandal-skandal kewangan masih lagi tidak dibayar.

“Kenapakah kroni UMNO boleh mendapat layanan istimewa berbanding dengan rakyat?” soal beliau. – Roketkini