klpost

Jurulatih China jadi tarikan

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

MAJLIS Sukan Negeri Terengganu (MSNT) akan mengambil jurulatih dari China bagi melatih atlet negeri itu dalam lima sukan yang diberikan perhatian utama iaitu menembak, renang, gimnastik, wushu, ping pong dan terjun.

Bagaimanapun, MSNT menghadapi sedikit kesulitan berikutan harga gaji pasaran jurulatih China kini naik sebanyak 20 peratus berikutan kejayaan negara itu memenangi banyak pingat di Sukan Olimpik London, bulan lalu. Pengarah MSNT, Zainal Abidin Husin berkata, pihaknya akan menghantar rombongan ke China untuk mengenalpasti dan menemuduga jurulatih terbabit bulan depan.
“Kami terpaksa mengambil jurulatih dari China biarpun kadar gaji mereka naik kerana kami yakin mereka mampu membimbing atlet negeri ini untuk maju dalam sukan masing-masing.

“Selain China, kami juga bercadang mengambil jurulatih lawan pedang dari Indonesia manakala muay thai dari Thailand.
“Kehadiran jurulatih terbabit diharap dapat menggilap bakat atlet Terengganu supaya lebih menyerlah dalam setiap pertandingan yang disertai,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri MSNT di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, baru-baru ini.
Beliau juga memberitahu sebanyak 19 acara dipertandingkan di Sukma ke-16 di Kuala Lumpur tahun depan termasuk dua acara baru iaitu muay thai dan woodball.

“Kami akan cuba menyiapkan pasukan terbaik untuk menyertai semua acara itu dan proses mengenal pasti atlit sudah mula dijalankan,” katanya.
Zainal turut meminta kerjasama ibu bapa memberikan sokongan kepada anak-anak mereka yang terbabit dalam Sukma ke-16 bagi menyemarakkan semangat juang atlit apabila beraksi kelak. – Metro