klpost2

JPN – ‘Kami daftar tak kira anak pendatang asing atau luar nikah’

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR  –  “Setiap kelahiran bayi di negara ini tanpa mengira status termasuk anak pendatang haram sekali pun wajib didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” kata Pegawai Perhubungan Awam JPN, Jainisah Mohd Noor.

Beliau berkata, sekiranya terlewat mendaftarkan kelahiran, ibu bapa masih boleh mendaftarkan anak mereka tanpa dikenakan sebarang denda.

Menurutnya, jika tiada sijil lahir, ibu bapa hanya perlu membuat proses daftar lewat kelahiran di mana-mana pejabat JPN yang terdekat.

“Pada borang itu ada senarai dokumen diperlukan seperti bukti kelahiran. Kalau lahir di hospital kena ada pengesahan dari hospital dan jika lahir di rumah, diperlukan bukti bidan yang menyambut kelahiran bayi.

“Ibu bapa hanya perlu membayar yuran proses RM10 untuk setiap permohonan dan sijil lahir akan siap dalam tempoh 30 hari bekerja, tetapi bergantung kepada dokumen lengkap yang diperlukan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, selepas mendapat sijil lahir, ibu bapa boleh membuat proses mendapatkan MyKad melalui prosedur biasa dan kad itu boleh siap dalam tempoh 10 hari bekerja.

“Di JPN kami mendaftarkan setiap kelahiran tanpa mengira status kerana soal status sama ada anak pendatang asing atau luar nikah itu adalah di luar bidang kuasa kami,” katanya.  -hmetro