klpost

Jong-nam jalan terhincut-hincut lepas kejadian

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Abang pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam dilihat berjalan terhincut-hincut beberapa minit selepas kejadian “serangan” di kios daftar masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu.

Pegawai Penyiasat Kanan, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Daerah Sepang/KLIA, Asisten Kominsioner Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lapangan terbang itu, menunjukkan pergerakan Kim Chol  sedikit terganggu  semasa menghampiri  Klinik Perubatan Menara sambil diiringi dua anggota polis.

Katanya semasa menuju ke lif di Aras 3, untuk dibawa ke klinik,  pergerakan mangsa masih seperti biasa  tetapi mula tersekat-sekat apabila tiba di ruang legar di Aras 2 menuju ke klinik.

“Ketika ini nampak mangsa berjalan terhincut-hincut sebelum masuk ke dalam klinik. Sebelum itu mangsa nampak berjalan seperti biasa,” kata saksi itu ketika diminta menjelaskan rakaman CCTV yang ditayangkan di dalam mahkamah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Diminta menerangkan rakaman CCTV itu, Wan Azirul Nizam berkata  mangsa dibawa masuk ke dalam klinik itu oleh seorang anggota polis dan mangsa  kemudian dibaringkan di atas pengusung oleh anggota para medik klinik itu serta diberikan bantuan pernafasan.

“Blazer berwarna biru muda  dan tali pinggang mangsa juga ditanggalkan,” kata saksi kesembilan itu  pada hari ketujuh perbicaraan warga Indonesia Siti Aisyah, 25, dan  Doan Thi Huong , 28, yang  didakwa  bersama-sama empat yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Pelepasan KLIA2 pada 9 pagi, 13 Februari lepas.

Saksi itu berkata barang-barang peribadi milik mangsa seperti jaket, jam tangan, gelang tangan dan tali pinggang juga diambil oleh pihak polis yang kemudian menyerahkannya kepada Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Beliau berkata, semua barang itu  kemudian diserahkan kepada pihak Kedutaan Korea Utara  selepas menerima arahan  daripada Ketua  Jabatan Siasatan Jenayah Selangor.

Saksi itu juga berkata wang US$100,000 juga dijumpai di dalam  beg galas mangsa  yang kemudian disimpan di dalam peti besi Ketua Polis Daerah Sepang.

Ketika diminta mengecam si mati berdasarkan gambar, Wan Azirul Nizam berkata “ Ya, inilah si mati bernama Kim Chol berdasarkan pasport”.

Pada prosiding itu juga Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Doan memohon supaya beberapa perkataan yang dinyatakan  oleh saksi kesembilan itu, antaranya “serangan, cemas dan agresif ” dipadamkan dalam rekod perbicaraan itu kerana perkataan  adalah berdasarkan apa yang dilihat oleh saksi itu melalui rakaman CCTV tersebut.

Hakim Datuk Azmi Ariffin berkata keterangan yang diberikan oleh saksi itu adalah berdasarkan pemerhatiannya dan tidak dibantah oleh mana-mana pihak dari mula saksi itu memberi keterangan.

“Untuk masa ini, kita biarkan sebagaimana ia disebut. Pada penghujungnya, saya yang akan membuat keputusan. Sekiranya saya dapati ia patut dibuang, saya akan gantikan perkataan itu kemudian. Kita lihat perjalanan kes ini dulu” kata hakim.

Mahkamah juga menetapkan 24 Oktober untuk  melawat tempat kejadian di klia2 berikutan permohonan barisan peguam bagi memudahkan mereka mengenal pasti lokasi kejadian yang ditunjukkan dalam rakaman CCTV sekitar lapangan terbang itu.

Perbicaraan kes bersambung esok. – Bernama