klpost

Jenazah Tuanku Abdul Halim selamat dimakamkan

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Alor Setar
– Jenazah Almarhum Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah selamat dimakamkan di Makam Diraja Langgar di sini pada pukul 5.45 petang ini.

Jenazah Almarhum sebelum itu dibawa di makam diraja itu dengan pedati khas berwarna kuning dari Istana Anak Bukit di sini.

Sebanyak 89 das tembakan daripada 11 buah meriam dilepaskan ke udara oleh 41 Bateri Artileri Istiadat Rejimen Artileri Diraja berpangkalan di Kem Sungai Buloh sepanjang jenazah Almarhum dibawa ke Makam Diraja Langgar.

Ribuan rakyat jelata beratur di sepanjang jalan ke makam diraja itu bagi memberi penghormatan kepada jenazah Sultan Tuanku Abdul Halim yang dikasihi buat kali terakhir.

Makam Almarhum Sultan Kedah terletak bersebelah makam isteri pertama, Almarhumah Tuanku Bahiyah Tuanku Abdul Rahman.

Selepas selesai istiadat pemakaman, Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang membaca doa dan talkim.

Sultan Kedah yang baharu dimasyhurkan, Tuanku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah mendahului keluarga diraja menjirus air mawar dan menabur bunga dan diikuti kerabat diraja lain.

Turut menjirus air mawar ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.

Almarhun Tuanku Abdul Halim, 90, yang memerintah Kedah selama 59 tahun mangkat di Istana Anak Bukit pada pukul 2.30 petang semalam. – Kosmo