SK

Janji-Janji Manis Pakatan Rakyat RM50.00 dan RM100.00

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Selain taburan janji-janji Pakatan Rakyat, pelbagai helah dan perdaya dilakukan oleh kepimpinan Pakatan Rakyat dan retorik yang seringkali memualkan, telah menjadi asam garam kehidupan rakyat dan penduduk Selangor sepanjang empat tahun Pakatan Rakyat berkuasa di Selangor. Segala-galanya bermula apabila Pakatan Rakyat yang begitu ghairah untuk mengambilalih pentadbiran di Selangor menabur seribu satu macam janji yang bersifat bulan bintang kepada para pengundi di Selangor.

Ditakdirkan, Pakatan Rakyat yang pada itu bukannya bergelar Pakatan Rakyat pun, berjaya mengambilalih pentadbiran Selangor. Janji bulan bintang Pakatan Rakyat mulai ditagih oleh rakyat Selangor, khususnya mereka yang sangat terpesona dengan janji-janji politik PKR dan DAP pada PRU12 yang lalu.

Salah satu daripada janji Pakatan Rakyat ialah RM100 untuk setiap orang murid Pra-Sekolah di seluruh Selangor. Namun setelah empat tahun menjadi Kerajaan Negeri Selangor, Pakatan Rakyat bukan sahaja gagal menunaikan janji mereka, sebaliknya menabur lagi janji-janji baru. Hanya kerana perdebatan PTPTN antara Khairy Jamaluddin dengan Rafizi Ramli, membuatkan Kerajaan Negeri Selangor malu besar.

Mahu tidak mahu, Khalid Ibrahim terpaksa tebal muka dan mengumumkan, Kerajaan Negeri Selangor akan membuat pemberian RM50 kepada setiap orang murid pra-sekolah bermula 1 Julai 2012 nanti.

Dari RM100 diturunkan kepada RM50. Dan yang paling menarik RM50 itu hanyalah untuk murid-murid yang mempunyai ibu bapa berpendapatan di bawah RM1500. Lebih menarik lagi, pemberian tersebut hanyalah untuk 2000 murid pra-sekolah di seluruh Selangor sahaja!

Taktik sebegini sebenarnya hampir sama modus operandi pemberian dan bantuan kepada para peniaga kecil yang mendapat pinjaman daripada Kerajaan Negeri Selangor asalkan mereka adalah ahli PKR dan pemimpin Pakatan setempat. Walaupun janji pemberian tersebut adalah menyeluruh tetapi amalan Pakatan Rakyat adalah sebaliknya.

Maka, janji RM50 untuk murid prasekolah juga adalah setaraf dengan janji untuk membantu peniaga kecil di seluruh Selangor. Kalau bukan orang PKR, jangan haraplah hendak dibantu. Mujurlah pemberian air percuma itu melibatkan saluran yang tidak boleh disekat. Kalau air 20 meter padu itu diberikan menerusi timba dan baldi, rasa-rasanya terlalu ramai penduduk Selangor yang tidak akan dapat menikmatinya.

Janji-janji Pakatan Rakyat memang langsung tidak boleh dipakai. Dari RM100 turun ke RM50… dari semua kepada sebilangan… dari keseluruhan kepada segelintir… itu adalah standard Pakatan Rakyat Selangor. Tunai janji pun ketika pilihanraya umum yang baru sudah begitu hampir. Itu belum lagi dikira dengan janji-janji lain seperti pemberian untuk anak baru lahir, pemberian kepada ibu yang bersalin, kepada pelajar-pelajar yang berjaya melangkah ke universiti dan sebagainya.

Untuk memastikan Pakatan disenangi dan diundi lagi pada PRU akan datang, kumpulan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim itu mempunyai seribu satu macam janji. Mereka tidak peduli sama ada janji tersebut akan ditunaikan atau sebaliknya kerana Pakatan beranggapan, rakyat Selangor mudah lupa. Bagi sedikit sahaja alasan, rakyat Selangor akan dapat menerima alasan tersebut dengan dada terbuka.

Dan yang paling menyedihkan, hanya ketika begitu hampir dengan Pilihanraya Umum Ke-13, barulah Pakatan Rakyat Selangor kelihatan bersungguh-sungguh hendak menunaikan janji-janji mereka, walaupun kesungguhan tersebut sekadar satu lagi janji dan pemberian tarikh. Dengan alasan kononnya, pemberian berkenaan adalah kerana Selangor untung duit pasir dan keuntungan tersebut dikembalikan semula kepada rakyat, terlalu banyak persoalan lain yang timbul, termasuklah persoalan tentang peruntukan kepada kerajaan negeri yang tidak sepadan dengan pembaikian dan penyelenggaraan yang mereka lakukan seperti jalan raya, kemudahan asas lain serta sampah dan kebersihan.

Gaya serta taktik yang ditunjukkan oleh Pakatan sebenarnya amat memalukan mereka sendiri, terutama apabila beranggapan yang rakyat Selangor bodoh-bodoh belaka! – Selangordaily