klpost

Janda dera anak – kurung dalam bilik air

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

 

BUKIT MERTAJAM: “Saya bimbang dengan masa depan kedua-dua anak saya. Mereka bukan saja enggan pulang ke rumah ibu kerana takut dipukul bekas isteri dan adik ipar, malah anak sulung juga kini trauma dan takut berjumpa dengan lelaki kerana pernah menjadi mangsa cubaan cabul bekas adik ipar,” kata seorang anggota keselamatan, lingkungan 40-an, kelmarin.

Bapa kepada dua anak, masing-masing berusia tujuh dan lapan tahun itu mendakwa, dia hanya mengetahui insiden anaknya dipukul ketika hendak mengambil kedua-dua beradik perempuan itu di rumah bekas isteri di Seberang Perai Selatan (SPS), pada 25 Mei lalu.

Menurutnya, ketika itu, kedua-dua anaknya kelihatan takut-takut, tetapi tidak menceritakan apa yang berlaku sehinggalah dia ternampak kesan lebam dan bengkak pada mata kirinya lalu pergi mendapatkan rawatan di klinik.

Dua hari kemudian, katanya, dia terlihat kaki kanan anak sulung lebam ketika membawa kedua-duanya keluar berjalan-jalan.

“Selepas itu, anak kedua mula bercerita kepada saya mengenai apa yang berlaku sepanjang tempoh tinggal bersama ibu mereka selain mendakwa ditendang pak ciknya (bekas adik ipar) dan terjatuh, manakala kakaknya turut dipukul di kaki oleh lelaki itu.

“Bukan itu saja, mereka turut mendakwa dikurung bekas isteri di dalam bilik air hanya kerana meminta air sirap selain diberi makan pada jam 5 petang selepas bekas isteri balik kerja,” katanya yang hadir di pejabat Harian Metro, di sini, semalam.

Berikutan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Taiping pada 9 Jun lalu bagi membolehkan siasatan dilakukan.

Dia berkata, memang pada mulanya, dia menyangka kedua-dua anaknya itu hanya dipukul, tetapi terkejut apabila anak sulung memberitahu ibunya (nenek), bekas adik iparnya cuba mencabulnya.

Menurutnya, anaknya mendakwa bekas adik ipar membuka seluar dan memegang kemaluannya sebelum insiden itu dilihat adiknya berusia tujuh tahun yang kebetulan naik ke bilik berkenaan dalam kejadian Mei lalu.

Akibatnya, bekas adik ipar lingkungan 20-an terbabit dimarahi dan dipukul oleh bekas isteri dan tidak menolak kemungkinan kedua-dua anaknya itu didera akibat perasaan tidak puas hati.

Berikutan itu, satu laporan polis dibuat ibunya di Balai Polis Nibong Tebal pada 8 Julai lalu selepas berbincang dengan ahli keluarga.

Kedua-dua kanak-kanak itu sudah dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan laporan doktor yang dikeluarkan pada 27 Julai lalu turut mengesahkan ada kesan lebam dan bengkak pada mata dan kaki kedua-duanya.

“Saya terpaksa menyerahkan anak-anak kepada bekas isteri pada 5 Julai lalu selepas mendapat perintah mahkamah. Meskipun berat hati, saya lepaskan juga dan pada masa sama berharap perkara sama tidak berulang, tetapi jangkaan saya silap apabila pada 20 Ogos lalu, ketika mengambil kedua-duanya dari jagaan isteri, saya nampak lebam pada mata kiri anak kedua, lalu membawanya ke HSJ,” katanya.

Difahamkan, anak keduanya itu kini masih dirawat di HSJ untuk pemeriksaan lanjut.

Justeru, dia berharap polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil tindakan sewajarnya bagi membela nasib kedua-dua anak perempuannya itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah SPS, Deputi Superintendan Shariffudin Abdullah ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan dua kanak-kanak terbabit didera mengikut Seksyen 323, Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja.

Manakala, bagi kes cubaan mencabul pula, katanya, siasatan sudah dijalankan dan akan mengambil tindakan lanjut. – MyMetro