klpost2

‘Isu ALLAH, hanya untuk mengabur Kristian yang kian percayai BN’

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Sepertidijangka gesaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng supaya kerajaan yang diterajui Barisan Nasional membenarkan penggunaan kalimah ALLAH dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu mengundang polemik baru dalam masyarakat, khususnya umat Islam. Ramai bertanggapan isu nama ALLAH ini sengaja dikumandangkan semula menjelang pilihan raya yang akan dilaksana bila-bila masa.

Tidak kurang juga yang melihat tindakan DAP ini sebagai desperado (terdesak) untuk meraih kembali sokongan orang Kristian yang dikatakan semakin cenderung menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ini.

Memang sejak akhir-akhir ini terlalu banyak suara sumbang cuba mempertikaikan beberapa perkara asas bersifat fundamental walaupun sudah disepakati dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Semacam beberapa keistimewaan yang termaktub dalam Perlembagaan sejak lebih lima dekad lalu kini tidak lagi relevan dan perlu dimansuhkan.

Seolah-olah keistimewaan Islam yang sudah dijamin dan dipersetujui oleh pelbagai kaum dan agama melalui kontrak sosial menjelang kemerdekaan dulu, kini menjadi bahan dagangan demi sebuah kemenangan pilihan raya.

Sebagaimana semua maklum ketika perundingan kemerdekaan, umat Melayu Islam bersedia untuk menerima kaum lain sebagai warganegara dengan beberapa syarat antara lainnya agar memperakui bahawa Islam sebagai agama Persekutuan-Perlembagaan Persekutuan Perkara 3(1) menyebutkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan.

Walau bagaimanapun ia tidak bermakna hak agama-agama lain untuk diamalkan secara bebas dinafikan sebagaimana termaktub dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan mengenai Kebebasan Beragama. Dalam Perkara 11 ini jelas hak agama-agama lain tetap diperakui Perlembagaan asalkan tidak mengganggu akidah umat Islam. Sebab itulah dalam Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan pula secara jelas menzahirkan bahawa “Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”.

Atas faktor ini jugalah kerajaan membuat keputusan berdasarkan maklumat dan fakta yang diperoleh untuk menyekat penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible versi Bahasa Melayu yang dibimbangi bakal mencetuskan kekeliruan kalangan umat Islam sehingga boleh menyuburkan pula fenomena murtad.

Sebagai pemerintah Islam berpandukan prinsip Siyasah Syari’yyah, kerajaan berhak melakukan sebarang bentuk tindakan berlandaskan kepentingan awam atau disebut dalam perbendaharaan fiqh sebagai maslahah. Kaedah fekah ini disebut dalam kitab karangan Imam As-Suyuti, Al-Ashbah Wa al-Nazoir yang menyebut “Tasarruf al-Imam ‘ala ar-ra’iyyah manuutun bil maslahah” (Sebarang tindakan pemerintah kepada rakyat adalah berpandukan maslahah).

Antara maslahah terpenting dalam kerangka Maqasid al-Syariah (Matlamat Syarak) atau disebut juga ‘Dharuriyyah al-Khamsah’ sebagaimana disebut dalam kitab ‘al-Muwafaqat fi Usul al-Shariah’ karangan Imam al-Shatibi ialah untuk memelihara agama atau akidah.

Justeru kerajaan berhak melakukan sebarang bentuk tindakan demi memelihara kesucian agama Islam termasuklah menyekat penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible versi Bahasa Melayu jika diyakini berasaskan kajian dan fakta bahawa ia boleh menyuburkan murtad dan kekeliruan sebahagian umat Islam walaupun mungkin tidak menepati pandangan segelintir ulama yang mengharuskannya.

Dalam prinsip Islam, keputusan pemerintah adalah lebih aula untuk dipatuhi atau wajib diutamakan berbanding pandangan segelintir ulama yang bersifat individu. Apatah lagi tindakan kerajaan ini adalah berpandukan kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal-Ehwal Ugama Islam Malaysia (Majlis Fatwa Kebangsaan) Kali Ke-82 pada 5 hingga 7 Mei 2008 yang secara jelas memfatwakan tidak boleh digunakan lafaz ALLAH untuk agama-agama lain demi menjaga kesucian agama Islam dan memelihara akidah umat Islam sebagaimana termaktub juga dalam Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, untuk meneruskan kesinambungan persefahaman yang sedia terjalin di antara pelbagai kaum dan agama di bumi Malaysia tercinta ini, sebarang unsur provokasi mahupun tuntutan tidak wajar yang membelakangi prinsip toleransi dan kesepakatan bersama, haruslah dielakkan.  – sinarharian