Thursday , 24 July 2014

Mimpi ular – isteri keguguran janin

SAYA berkahwin hampir setahun tetapi belum dikurniakan anak kerana isteri mengalami keguguran selepas empat bulan berkahwin.

Sejak dua minggu lalu, isteri sering bermimpi mengenai ular dalam pelbagai keadaan.

Menurut orang yang mengubatnya, isteri tidak disantau atau mempunyai saka, cuma qarin isteri merantau dalam jarak jauh dan berkawan dengan iblis serta jin kafir dalam keadaan tidur.

Dipercayai, qarin kembali ke badan isteri dalam keadaan penat dan menjadi penyebab keguguran janin. Sebagai suami, saya mahukan kepastian sama ada qarin wujud dan menjadi penyebab keguguran janin.
Hingga kini, isteri masih mimpikan perkara sama. Minta pandangan Datuk dan cara-cara mengatasi mimpi buruk.
RYZAL
Ampang

Mimpi ada ketikanya menjadi petanda dan ada ketikanya mainan tidur semata- mata. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menyatakan bahawa mimpi itu tiga jenis: mimpi benar sebagai berita gembira daripada Allah, mimpi menyedihkan daripada syaitan dan mimpi berkaitan apa yang berlaku pada dirinya.

Mimpi benar biasanya dialami mereka yang berwuduk sebelum tidur, malah mereka akan berzikir dan membaca beberapa ayat al-Quran sebagai pendinding sebelum melelapkan mata.

Mimpi yang tidak benar pula ialah mimpi yang diganggu oleh syaitan dan ketika hendak tidur, mereka tidak berwuduk serta membaca ayat al-Quran.

Perihal qarin, disebut Abdullah bin Mas’ud bahawa: Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada seorang pun di antara kalian yang tidak ditunjuk untuknya jin pendamping (qarin).” Sahabat bertanya: “Termasuk anda, ya Rasulullah?”

“Ya, hanya aku mendapat pertolongan Allah sehingga jin pendampingku memeluk Islam, dan dia tidak pernah mengajakku kecuali yang baik,” kata baginda.

Hadis berkenaan adalah benar. Setiap manusia sememangnya Allah jadikan mempunyai qarin (teman atau jin pendamping) yang sama lahir dengannya. Dia akan mengajak manusia ke arah kejahatan atau melakukan perkara tidak disukai oleh agama.

Sebagai manusia, kita perlu memperkuatkan diri dengan iman, ilmu dan amal serta keikhlasan dalam beribadah supaya tidak dipengaruhi.

Isteri tuan keguguran kerana belum lagi rezeki Allah untuk mendapat anak, bukan kerana qarin atau santau.

Disebut dalam al-Quran bahawa anak adalah anugerah Allah SWT, di mana Allah berhak menganugerahkan anak lelaki atau perempuan kepada sesiapa dikehendaki sebagaimana dia juga berhak menjadikan mereka mandul. Banyakkan berdoa kepada Allah, semoga dikurniakan rezeki. – HM


Scroll To Top