klpost2

Isteri disepak suami gara-gara menentang bermadu tara kedua

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Kuala Lumpur  –  Tindakan seorang wanita berusia 29 tahun menghalang suaminya pergi bercuti dengan isteri barunya mengundang padah apabila tangan kirinya patah akibat dihentak dengan kerusi oleh lelaki terbabit dalam kejadian di rumah mereka di Bandar Tasik Selatan, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa dilaporkan menghalang suaminya berusia 33 tahun yang sedang mengemas pakaian untuk pergi bercuti dengan isteri barunya itu di utara tanah air menyebabkan berlaku pertengkaran.

Sumber berkata, kejadian bermula apabila mangsa yang pulang ke rumah terkejut selepas melihat suaminya itu sedang mengemas pakaian.

“Mangsa kemudian bertanya mengenai tujuan suaminya itu sebelum lelaki terbabit mendakwa mahu pergi bercuti. Selepas didesak, lelaki itu memberitahu mahu bercuti di utara tanah air dengan isteri barunya.

“Dakwaan lelaki itu menyebabkan mangsa naik marah dan menghalangnya daripada mengemas pakaian,” katanya.

Sumber berkata, tindakan mangsa menyebabkan mereka bertengkar.

“Suami mangsa yang hilang pertimbangan bertindak memukul mangsa. Wanita terbabit dilaporkan bukan saja disepak terajang sebaliknya dihentak dengan kerusi oleh suaminya,” katanya.

Katanya, sebaik memukul mangsa, suaminya terus keluar meninggalkan rumah.

Mangsa yang patah tangan kiri selain cedera di seluruh tubuh segera menghubungi rakannya bagi mendapatkan bantuan sebelum dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) bagi mendapatkan rawatan.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi, di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan namun enggan mengulas lanjut.  – hmetro