SK

Isteri diikat selepas leher suami di kelar

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

JOHOR BAHRU, Jun 14, 2012: Seorang pekerja kilang ditemui mati dipercayai dikelar dengan senjata tajam selepas disamun enam warga Vietnam termasuk dua rakan serumahnya dalam kejadian dekat Taman Senai Baru di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, dalam kejadian di rumah sewaan mangsa dekat Jalan Padi Mahsuri 2 kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa, Low Kwang Kean, 41, dan isterinya warga Vietnam berusia 30 tahun berada dalam bilik sewa sebelum didatangi enam lelaki termasuk dua rakan serumahnya.

“Pintu bilik mangsa diketuk bertalu-talu. Sebaik saja dibuka, enam lelaki termasuk dua rakan serumahnya menerjah masuk dalam bilik dan menolak mangsa hingga terjatuh.

“Seorang daripada suspek kemudian menarik tangan isteri mangsa keluar dari bilik terbabit bersama empat lagi lelaki sebelum bertindak mengikatnya di bahagian ruang tamu.

“Difahamkan, seorang lagi suspek yang berada di dalam bilik bersama mangsa dikatakan meminta sejumlah wang sebelum berlaku pertengkaran antara mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, suspek yang berada dalam bilik bersama mangsa kemudian keluar secara tergesa-gesa sebelum melarikan diri bersama lima lagi rakannya.

“Selepas semua suspek melarikan diri, isteri mangsa yang berjaya membuka ikatannya bergegas masuk ke dalam bilik sebelum menemui suaminya sudah mati dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kecederaan di leher.

“Bagaimanapun polis belum menjumpai senjata yang digunakan suspek. Siasatan mendapati enam suspek terbabit turut melarikan wang tunai RM10,000, seutas rantai leher emas, sepasang subang dan enam telefon bimbit milik mangsa,” katanya.