klpost

Inspektor dan Konstabel polis dipenjara

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

SHAH ALAM: Seorang inspektor polis dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah bersetuju menerima suapan RM4,000 sebagai dorongan untuk melepaskan dua wanita warga Thailand, dua tahun lalu.

Hakim M Bakri Abdul Majid juga memerintahkan Inspektor Mohd Azrul Azza Mat Jubin, 27, dipenjara sembilan bulan lagi sekiranya dia gagal membayar denda.

Selain itu, M Bakri turut menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM20,000 ke atas Konstabel Sokongan Mohd Fitri Hayat Ahmad, 24, selepas dia didapati bersalah melakukan kesalahan yang sama.

Anggota polis itu boleh dipenjarakan enam bulan lagi sekiranya dia gagal membayar denda.

M Bakri membenarkan permohonan kedua-dua tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi tetapi menaikkan jumlah jaminan daripada RM5,000 kepada RM8,000.

Bagaimanapun, beliau tidak membenarkan permohonan mereka untuk penangguhan pembayaran denda.

Ketika menjatuhkan hukuman, M Bakri berkata hukuman penjara ke atas Mohd Azrul Azza lebih tinggi berikutan dia adalah pegawai atasan kepada Mohd Fitri Hayat dan adalah perancang dalam kes itu.
Mohd Fitri Hayat dan Mohd Azrul Azza didakwa menyetujui terima suapan wang tunai RM4,000 daripada peniaga Chin Chen Seng sebagai dorongan untuk melepaskan dua wanita warga Thailand yang ditangkap polis pada 18 Disember 2010.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah, Balai Polis Seri Kembangan dekat sini, pada 24 Disember 2010.

Seramai 17 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Wan Ahmad Nidzam Wan Omar. – BERNAMA