klpost2

Ibu derita, gagal melacur, bayi dipijak bapa ayam

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR  –  Tangan kanannya patah manakala seluruh tubuh kecilnya dipenuhi kesan lebam dan berbirat. Itu penderitaan seorang bayi perempuan berusia setahun dipercayai akibat didera seorang bapa ayam di Lorong Haji Taib, di sini, sejak dua minggu lalu.

Mangsa dikatakan dipukul menggunakan penyangkut baju selain dipijak lelaki berusia lewat 30-an itu kerana kegagalan ibunya berusia 34 tahun untuk melacur seperti diarahkan. Malah, ibunya turut dipercayai dipukul lelaki berkenaan.

Kejadian menimpa bayi itu disedari bekas pengasuhnya selepas melawat mangsa di rumah berkenaan, jam 9 malam kelmarin.

Pengasuh itu yang mahu dikenali sebagai Ran, 35, berkata, selepas melihat kecederaan bayi itu, dia meminta supaya mangsa diserahkan kepadanya untuk dihantar ke hospital, namun bapa ayam itu tidak membenarkan sebaliknya menghalaunya.

Menurut Ran, dia merakamkan beberapa gambar menunjukkan kecederaan mangsa sebelum membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Ran berkata, sebelum ini, ibu mangsa yang berusia 30-an yang juga pelacur tinggal bersamanya hampir empat bulan lalu.

“Jadi, saya menjaga bayi itu, malah, sudah menganggapnya sebagai anak sendiri. Saya juga selalu menegur perbuatan ibunya yang mengambil dadah.

“Ini kerana ada ketikanya wanita itu menyusukan mangsa sambil menghisap dadah,” katanya sambil memberitahu bapa mangsa kini menjalani hukuman penjara.

Menurutnya, disebabkan tegurannya itu, ibu mangsa marah sebelum membawa bayi itu untuk tinggal bersama seorang bapa ayam di sebuah rumah di Lorong Haji Taib.

“Saya tiada hak untuk menghalangnya namun berulang kali menasihatinya supaya tidak berbuat demikian, tetapi perempuan itu degil dan meneruskan niatnya itu.

“Disebabkan rindu selain bimbang dengan keselamatan bayi itu, saya pergi ke rumah berkenaan untuk melawatnya bersama seorang rakan jam 9 malam (kelmarin).

“Ketika tiba di rumah itu, saya dan rakan melihat bapa ayam terbabit memijak mangsa yang diletakkan di sofa, lalu segera menghalangnya,” katanya.

Ran berkata, dia mendukung mangsa dan ketika itu dia mendapat  muka dan badan dipenuhi kesan berbirat manakala tangan kanannya juga bengkak dipercayai patah.

“Melihat kecederaannya itu, saya cuba untuk membawanya ke hospital namun dihalang lelaki terbabit dan pasangannya, namun saya merakam gambar keadaan mangsa tanpa disedari mereka,” katanya.

Menurutnya, dia juga dimaklumkan seorang individu yang tinggal berhampiran rumah itu, bahawa ibu mangsa turut dipukul bapa ayam terbabit gara-gara tidak melayan nafsu lelaki kerana mengalami masalah kesihatan.

“Saya yakin ibu mangsa tidak tahu kejadian menimpa anaknya itu. Dia juga kini sudah menghilangkan diri dan saya berusaha mengesannya,” katanya.

Ran berkata, dia membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi dan berharap polis segera menyelamatkan mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kes penderaan itu dan memberitahu siasatan sedang dilakukan.  – Harian Metro