klpost

Ibu bapa, pelajar, guru dan masyarakat perlu berkerjasama mengatasi masalah kes buli di kalangan pelajar sekolah – Dato V.S. Mogan

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Kes buli di kalangan para pelajar semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Ketua Penerangan Kebangsaan MIC, Dato V.S. Mogan berpendapat masalah ini perlu ditangani segera sebelum ianya merebak sebagai barah yang bakal memusnahkan masa depan belia dan secara tidak langsung mengugat pembangunan negara kita.

Beliau cadangkan agar Kementerian Pendidikan mewujudkan unit pemantauan kes buli dikalangan pelajar di setiap negeri. Unit ini juga akan memberikan khidmat kaunseling kepada para pelajar bermasalah.

“Saya berpendapat ibubapa memainkan peranan yang amat penting dalam hal membenteras kes buli dikalangan pelajar sekolah. Gaya didik ibubapa (parenting style)yang betul perlu diamalkan untuk mendidik anak-anak kecil untuk menjadi lebih bertanggungjawab.”

“Saya sarankan agar ibubapa bersikap adil tetapi tegas. Ibubapa perlu bersikap adil dan tidak memberikan segala -gala yang diminta oleh anak-anak. Anak-anak perlu belajar kesan daripada tindakan mereka. Ini juga bermakna bahawa semua situasi yang timbul dalam keluarga terbuka untuk perbincangan, terutama apabila ia berkaitan dengan peraturan yang ditetapkan di rumah,” ujar beliau.

“Kaedah dan hukuman harus jelas dan dipersetujui oleh kedua belah pihak.Adalah penting agar kanak-kanak dibenarkan mempertahankan diri sebelum dihukum. Kadang-kadang, mereka benar-benar tidak menyedari bahawa apa yang mereka lakukan adalah salah. Kerap mereka berpendapat tindakan mereka hanyalah sekadar gurauan dan permainan yang tidak berbahaya. Sekiranya hukuman perlu dilaksanakan, pastikan ia dilakukan secara rasional dan bukannya secara emosi,” saran beliau.

“Bagi mangsa buli pula, saya mencadangkan, adalah penting bagi kanak-kanak untuk berhadapan dengan seseorang. Ia boleh menjadi ibu bapa, adik-beradik atau guru yang kanak-kanak itu selesa.”

Beliau menegaskan bahawa ibubapa juga perlu menyedari perubahan tingkah laku anak mereka untuk mengetahui sama ada anak mereka adalah mangsa buli atau sebaliknya. Mereka perlu dapat membezakan antara kemarahan yang semakin meningkat dan pembulian yang serius.

“Sekolah perlu mengambil langkah-langkah proaktif untuk mewujudkan persekitaran yang selamat untuk para pelajar. Guru pula perlu dilatih untuk segera mengenal pasti murid-murid berpotensi menjadi pembuli atau mangsa buli dan mengambil langkah-langkah pemulihan dan pencegahan segera – dari pemantauan dan kaunseling dan mengambil langkah-langkah segera untuk membenteras kes buli. Sekolah perlu menyediakan satu platform di mana murid- murid boleh melaporkan buli secara rahsia.”

“Apa yang jelas adalah, pembuli dan mangsa buli kedua-duanya memerlukan bantuan. Saya berpendapat pelajar, guru, ibu bapa dan masyarakat, perlu bekerjasama untuk membendung masalah ini sekali gus. Jika satu pihak gagal memainkan peranannya, kes buli sukar diatasi,” kata beliau.

Marilah kita bekerjasama untuk mengelakkqn wabak buli ini daripada merebak dan memusnahkan masa depan anak-anak kita.