Wednesday , 3 September 2014

Ibu, ayah rentung dalam kebakaran

ibu-korban-kebakaran2PULAI – “Kejadian berlaku pantas, sebaik saja saya berjaya keluar melalui tingkap, tidak kedengaran lagi jeritan mak atau ayah. Ketika itu saya pasrah mereka telah pergi.” Luahan sayu Shahrul Huzaimi, 33, yang terkilan tidak dapat menyelamatkan ibu dan ayahnya yang rentung dalam kebakaran.

Pasangan suami isteri itu maut apabila rumah mereka terbakar dalam kejadian menyayat hati di Kampung Pasir, awal pagi semalam.

Mangsa, Mahmud Mohd Yusof, 60, dan isterinya, Halimah Khamis, 55, terkorban manakala Shahrul anak kedua pasangan itu, patah rusuk kanan ketika cuba meloloskan diri.

Shahrul Huzaimi berkata, dia terjaga dari tidur apabila terdengar jeritan kedua ibu bapanya meminta tolong, namun cubaannya untuk keluar dari bilik gagal apabila disambar api.

“Saya buka pintu hanya nampak api marak lalu cuba keluar menerusi tingkap berjeriji. Ketika itu saya sempat hulur kunci pendua kepada jiran yang berada di luar untuk bantu buka pintu.

“Namun tiada siapa yang berani dekati kerana api marak,” katanya.

Katanya, api dipercayai berpunca dari bumbung menyebabkan ia merebak cepat dan tidak menolak kemungkinan ada kaitan sistem pendawaian kerana sebulan lalu keluarganya ada baiki litar itu.

“Saya reda pemergian mereka. Ayah ada hantar SMS memaklumkan ada kebakaran berdekatan rumah malam semalam (malam kelmarin). Ketika itu saya sedang bekerja.
Ayah memang jarang SMS saya,” katanya.

Sementara itu, jiran yang juga penyewa rumah milik mangsa, Sawiah Mohamed, 53, berkata, mengenali mangsa sejak tujuh tahun lalu kerana menyewa di rumah milik arwah yang terletak di belakang.

Dia yang tinggal bersama suami dan tiga anaknya tidak dapat membantu kerana api marak.

“Kami sedang tidur dan terjaga apabila terdengar orang jerit, api..api.. Saya kejutkan semua ahli keluarga dan sempat ambil dokumen penting. “Arwah seorang yang baik dan jarang berjumpa kerana beliau keluar bekerja dan hanya balik sebelah malam,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Jalan Durian kampung yang sama iaitu 300 meter dari rumah mangsa, seorang lelaki pemastautin tetap dikenali sebagai Wak Adi berusia 50-an meninggal dunia apabila terperangkap dalam kebakaran di rumah asrama bengkel kereta pada jam 7.30 malam, kelmarin.

Ketua  Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Omera Omar yang mengetuai 19 anggota tiba di lokasi kejadian 8 minit kemudian dan berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 10 minit.

Menurut Omera, mangsa ditemui di bilik stor yang dijadikan bilik pekerja.

Manakala Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan mengesahkan kedua-dua kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – SH


Scroll To Top