klpost

Ibu, anak maut, 2 lagi cedera

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Segamat
– Seorang lelaki dan ibunya maut, manakala isteri dan anak perempuannya cedera selepas PROTON Wira yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori, di Kilometer 165 Jalan Johor Bahru-Seremban, Labis, kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Kejadian dipercayai berlaku ketika keluarga itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Lembah Bakti, Tenang Stesen, Segamat, selepas menghadiri program Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2017, di Labis.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat, berkata Mokminah Kasdini, 73, dan Hamzah Selamat, 40, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isteri dan anak Hamzah yang cedera parah dihantar mendapat rawatan di Hospital Segamat.

Katanya, pemandu lori terbabit turut cedera dan dirawat di hospital yang sama.

Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Labis, Sharfini Nasar, berkata pihaknya membantu mengeluarkan mayat kedua-dua mangsa yang tersepit di tempat duduk.

Katanya, mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu kereta terbabit dan ibunya yang duduk di tempat penumpang belakang.

“Seorang wanita yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan turut cedera parah di muka, manakala kanak-kanak perempuan itu turut tersepit di tempat duduk belakang,” katanya. – BH Online