klpost

“Ibarat Jatuh di timpa tangga”

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

PUCHONG  –  Ibarat jatuh ditimpa tangga, isteri kepada seorang tahanan Penjara Kajang bersama tiga anaknya yang masih kecil hidup dalam keadaan kesempitan sejak suaminya ditahan polis, September lalu.

Lebih menyedihkan, dia yang tidak mempunyai wang simpanan untuk menyara tiga anak masing-masing berusia setahun, tiga dan empat tahun hanya bergantung ihsan jiran untuk meneruskan hidup.

Isteri berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Imah, 29, ketika ditemuramah of SH, berkata, suaminya ditahan polis dalam satu sekatan jalan raya kerana menunggang dan memiliki sebuah motosikal curi.

Menurutnya, dia tidak pasti sama ada suaminya mengetahui bahawa motosikal yang dibeli itu adalah motosikal ‘panas’ yang pernah dilaporkan hilang di Petaling Jaya, sebelum ini.

Imah berkata, selepas mengetahui suaminya ditahan polis dia kemudian ke penjara dan terpaksa meminta simpati pekerja Jabatan Penjara untuk membayar kos tambang teksinya.

“Saya ingatkan apabila bertemu suami, boleh mengambil sedikit wang dalam kad bank miliknya, malangnya kad itu tidak ada bersama suami. Disebabkan itu, saya terpaksa menebalkan muka meminta kakitangan penjara membayarkan tambang teksi,” katanya.

Dia berkata, ketika suaminya ditahan tiada sesen pun duit di tangannya menyebabkan hidupnya melarat dan terpaksa menagih simpati saudara-mara.

Menurutnya, dia kini buntu apabila bil air dan elektrik di pondok usang dihuninya terletak bersebelahan sebuah bengkel kenderaan di sini sudah tertunggak lebih tiga bulan.

“Suami ditahan secara tiba-tiba, ketika ditahan suami masih dalam keadaan cuti sakit kerana terbabit dalam kemalangan di tempat kerja. Memang langsung tiada duit untuk menampung hidup bersama tiga anak.

“Saya tidak pernah bekerja dan mungkin agak sukar meninggalkan tiga anak yang masih kecil kerana perlu membayar upah jagaan kepada pengasuh pula sekiranya saya keluar mencari kerja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tengah, Batu 13, Puchong di sini.

Imah berkata, dia tidak tahu ke mana mahu mengadu nasib dan berharap ada pihak membantunya bagi meneruskan hidup sementara suaminya masih belum dibebaskan.

 

(Gambar sebagai Illustrasi)