klpost

Hukuman mati: Mahkamah tolak rayuan inspektor polis

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Mohd Taufik Peter Abdullah,
Putrajaya
– Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan seorang inspektor polis yang dijatuhi hukuman mati setelah didapati bersalah menjadi rakan sejenayah dalam kejadian rompak dan tembak, yang mengakibatkan kematian, di sebuah kedai emas hampir lapan tahun lalu.

Mohd Taufik Peter Abdullah, 50, yang digantung tugas dari Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, didapati membenarkan pistolnya digunakan oleh S. Nagendran ketika mereka merompak kedai Max Goldsmith (amp) Jewellery di Jalan Sultan Iskandar Ipoh, Perak, antara 3.30 petang 5.10 petang 16 Sept 2009.

Pemilik kedai, Chen Fun Kee, terbunuh semasa rompakan itu, setelah ditembak Nagendran menggunakan pistol Mohd Taufik.

Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh mempengerusikan panel tiga anggota hakim Mahkamah Rayuan menegaskan bahawa alasan yang dikemukakan oleh peguam Mohd Taufik untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi, tidak mempunyai merit.

“Rayuan ini ditolak. Sabitan dan hukuman mati yang dijatuhi Mahkamah Tinggi disahkan dan dikekalkan,” katanya.

Hakim Datuk Seri Zakaria Sam dan Datuk Ahmadi Asnawi turut bersidang dalam panel itu.

Mohd Taufik pada mulanya didakwa membunuh, tetapi di akhir kes pendakwaan, pertuduhan itu dipinda kepada Seksyen 3A Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana menjadi rakan sejenayah dalam insiden yang membawa maut itu.

Dia merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 25 Mac tahun lepas, yang mensabit dan menjatuhi hukuman mati terhadapnya mengikut Akta Senjata Api.

Dalam penghujahannya, peguam Muhammad Farhan Ahmad Fadzil memohon mahkamah supaya memerintahkan perbicaraan semula atas alasan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Shamsudin Hassan terkhilaf dalam fakta dan undang-undang apabila beliau membenarkan pihak pendakwaan mengemukakan pertuduhan pilihan terhadap anak guamnya selepas pendakwaan menutup kesnya.

Timbalan Pendakwa Raya Norinna Bahadun berhujah tiada sebarang prejudis terhadap Mohd Taufik oleh kerana dia diberi hak untuk memanggil semula mana-mana saksi untuk memberi keterangan pada peringkat pembelaan tetapi dia memilih untuk tidak berbuat demikian.

Mohd Taufik mempunyai satu lagi hak untuk merayu keputusan itu di Mahkamah Persekutuan. – Bernama