SK

Hukum penjara tujuh tahun dan lima sebatan – akibat rompakan bersenjata

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA TERENGGANU, May 30, 2012: Tiga warga Indonesia dihukum penjara tujuh tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan melakukan rompakan bersenjata awal bulan ini.

Mawardi Dimak, 29, didakwa melakukan rompakan itu bersama Sahrun, 25, dan Hamdi Keson, 24, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bukit Tanah, Kampung Raja, Besut sekitar jam 2 pagi, 8 Mei lalu.

Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh ketiga-tiga tertuduh ditangkap iaitu pada jam 8 malam hari yang sama di rumah kongsi ladang kelapa sawit Seri Alam, Kampung Bukit Jeruk, Kampung Raja Besut.

Mengikut fakta kes, ketiga-tiga tertuduh iaitu pekerja kontrak ladang berkenaan memecah masuk rumah pengadu, Shafie Mohamad, 46, dan meletakkan parang di leher mangsa dan isterinya serta mengugut akan membakar rumah sebelum melarikan barang kemas bersama wang tunai dianggarkan bernilai RM8,000.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama dengan Seksyen 397 kanun yang sama, membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan.

Ketiga-tiga tertuduh mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan.
Sementara itu, di mahkamah yang sama, Hamdi Keson dan Sahrun turut mengaku salah terhadap dakwaan memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah.

Kedua-duanya didakwa bersama tujuh lagi rakan senegara iaitu Anton Idin, 20; Muhamad Jalaludin Keson, 25; Muhtar, 24; Mus, 20; Sadeli, 25; Suhardan, 32 dan Suwinton, 20,wa di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta yang sama.

Mereka yang turut mengaku salah, ditahan ketika hadir memberi keterangan berhubung kejadian rompakan berkenaan di perkarangan Ibu pejabat Polis Daerah Besut, Kampung Raja, Besut pada jam 5 petang, 22 Mei lalu.

Mereka dijatuhkan hukuman enam bulan penjara dan dua sebatan oleh Hakim Wan Fadhilah Nor. – BERNAMA