klpost

Hentikan mainan yang tidak matang yang akan menjadikan Malaysia sebagai lawak antarabangsa

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Kuala Lumpur – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah berkata bahawa pertarungan pilihan raya umum yang akan datang akan berlaku dalam kancah perkauman. Ini berbeza dengan PR yang ingin bertarung berdasarkan ekonomi dan peningkatan taraf hidup rakyat. Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak harus membuktikan Mahathir salah dan tunjuk bahawa BN tidak akan bertarung berdasarkan perkauman dalam pilihan raya umum akan datang dengan menghentikan momokan bukan Melayu yang bertujuan untuk mengapi-apikan kebencian di kalangan rakyat Malaysia.

Slogan 1Malaysia Najib sudah pun terkecai dan tidak dipedulikan oleh penyokong rasis dan ekstremis UMNO yang sedang menjalankan kempen berdasarkan kebencian primitif dan ketakutan yang direka terhadap Pengerusi Bersama Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan, Singapura serta saya sendiri. Ambiga sudah pun diganggu-gugat di rumahnya dengan burger lembu dan tarian punggung oleh bekas tentera, iaitu satu tindakan yang amat biadap terhadap seorang Hindu, wanita dan India.

Lagi teruk, Ahli Parlimen UMNO Sri Gading Datuk Mohamad Aziz telah memanggil supaya beliau digantung kerana derhaka terhadap Agung atas sebab kepimpinannya dalam Bersih walaupun beliau bukan seorang sahaja penganjur gerakan untuk pilihan raya bersih. Kenapakah Mohamad Aziz tidak memanggil untuk tindakan yang sama terhadap mereka yang mencuri undi atau duit rakyat?

Walaupun Mohamad Aziz terpaksa menarik balik kenyataannya yang ekstremis dan rasis selepas saya memohon perintah daripada Speaker Parlimen, Mohamad Aziz tidak pernah meminta maaf kepada Ambiga. Najib harus buktikan beliau menghormati masyarakat India, Hindu dan wanita dengan mengarahkan supaya Mohamad Aziz meminta maaf secara penuh dan tanpa syarat terhadap Ambiga.

Pada masa yang sama, penyokong UMNO dalam Perkasa dan Utusan Malaysia terus memomokkan bukan Melayu dengan fitnah bahawa negara Singapura yang didominasi Cina mempunyai agenda politik untuk mencampur tangan dan mengawal politik Malaysia. Utusan Malaysia pula membuat sawang fitnah dengan menggunakan lawatan Lee Kuan Yew kepada Pulau Pinang serta sejarah lampau DAP sebagai bukti. Padahal, hakikatnya Lee Kuan Yew telah melawat negeri-negeri BN juga selain daripada Pulau Pinang dan apa-apa hubungan di antara Pulau Pinang dengan Singapura hanya berlaku pada peringkat kerajaan-dengan-kerajaan selepas PR mengambil alih kuasa pada tahun 2008. Sekiranya tuduhan-tuduhan ini benar, maka Najib harus membuat laporan rasmi dengan Singapura dan mengemukakan bukti. Kalau tidak, beliau harus mengarahkan Utusan Malaysia untuk menghentikan mainan yang tidak matang dan bahaya ini yang akan menjadikan Malaysia sebagai bahan lawak antarabangsa.

UMNO juga harus menarik balik sokongannya kepada sebuah organisasi rasis dan ekstremis dengan sejarah kebencian dan keganasan terhadap bukan Melayu. Sebagai Ketua Menteri PR Pulau Pinang, saya sering menjadi sasaran. Walaupun kerajaan negeri PR Pulau Pinang berpegang kepada hak perhimpunan aman, Perkasa sudah keterlaluan bukan sahaja dengan melemparkan poster anti-Lim Guan Eng di depan laluan saya tetapi juga mengancam keselamatan peribadi saya.

Penyokong Perkasa sudah pun dua kali terbabit dalam keganasan terhadap wartawan, sekali pada bulan Julai tahun lepas di Jambatan Pulau Pinang dan kali kedua semasa perhimpunan anti-Lynas pada Februari 28 di Padang Kota Lama. Semasa perhimpunan anti-Lynas, ahli-ahli Perkasa telah menyekat dan memukul kereta rasmi saya dan mengancam keselamatan saya. Tiada tindakan yang diambil oleh pihak polis yang hanya menonton di pinggiran.

Semasa lawatan saya ke pasar Teluk Bahang Sabtu lepas, Perkasa bukan sahaja membuat demonstrasi yang kesat hanya beberapa meter daripada saya tetapi juga telah menyerang saya dari belakang dan menolak saya. Penyerang itu telah diheret keluar bukan oleh polis tetapi oleh seorang pemimpin JKKK PR tempatan.

Timbalan Ketua Polis Negeri Pulau Pinang SAC Datuk Abdul Rahim Jaafar telah dipetik sebagai berkata bahawa jika tidak kerana campur tangan polis, Ketua Menteri mungkin dicederakan. Jika begitu, kenapa mereka tidak mengambil tindakan untuk menahan orang yang telah menyerang saya dari belakang?

Najib harus menarik balik sokongan UMNO terhadap Perkasa dan mengarahkan supaya tindakan polis yang tegas diambil ke atas Perkasa kerana tingkah laku mereka yang ganas. Kegagalan untuk membuat demikian akan lagi menggalakkan tindakan ganas dan Najib harus bertanggungjawab penuh untuk apa-apa kejadian yang serius dalam masa depan.

Oleh: Lim Guan Eng