Administrator

Hasrat Ziana Zain bercerai tertangguh

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

SHAH ALAM — Hasrat penyanyi terkenal Ziana Zain untuk mengakhiri perkahwinannya dengan Armin Zaharin Ahmad Zambri terbantut selepas suaminya itu membangkitkan isu mengenai hak penjagaan ke atas anak-anak mereka.

Ketika kes mereka disebut di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini, Armin Zaharin memberitahu Hakim Syarie Mohd Nizam Mohtar bahawa beliau bersedia untuk menceraikan Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, namun beliau inginkan hak untuk berjumpa dengan anak-anak mereka.

“Saya boleh lepaskan (Ziana) tetapi saya nak (mahu) dapatkan persetujuan bersama ke atas hak berjumpa anak-anak. Saya nak (mahu) dibenarkan jumpa anak-anak,” katanya.

Ziana bagaimanapun memberitahu mahkamah bahawa beliau telah dinasihatkan oleh peguam dan pihak polis supaya tidak membenarkan anak-anak mereka berjumpa Armin Zaharin buat masa ini kerana dibimbangi mengganggu kes jenayah yang dihadapi lelaki itu.

Armin Zaharin sebelum ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan pindaan sengaja menyebabkan kecederaan luka dan lebam di bahagian tangan anak lelaki mereka berusia 9 tahun menggunakan sebatang rotan, di rumah mereka di Denai Alam di sini, pada Februari lepas.

“Anak-anak saya adalah saksi dalam kes itu dan saya dinasihatkan kalau boleh mereka tidak dibawa berjumpa bapa mereka kerana takut akan dipengaruhi bapa mereka. Saya tiada halangan untuk mereka berjumpa selepas kes (jenayah) selesai, saya hanya ikut arahan polis,” kata Ziana. – Bernama