Wednesday , 3 September 2014

Hasrat pengantin tak berjaya, ditembak mati sebelum berkahwin

PENGANTIN TEMBAKJOHOR BAHRU – Hasrat seorang ahli perniagaan untuk melangsungkan perkahwinannya semalam tidak kesampaian apabila dia cedera parah selepas ditembak sekumpulan lelaki di Taman Kulai, Kulaijaya di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, mangsa, Fan Chee Wei, 34, sedang mengadakan majlis makan malam praperkahwinan yang dihadiri kira-kira 60 ahli keluarga dan rakan-rakan.

Difahamkan, semasa majlis berlangsung, Chee Wei keluar dari rumah untuk mengalihkan keretanya bagi membolehkan beberapa kawannya membakar mercun.

Menurut seorang saudara mangsa yang enggan dikenali, ketika itulah Chee Wei dikatakan ditembak.

“Pada mulanya, kami sangkakan bunyi mercun tetapi sebaik melihat dia sedang dikejar sekumpulan lelaki, baru kami sedar sesuatu telah berlaku.

“Dia berjaya melarikan diri dan melintasi sebuah jambatan laluan pejalan kaki menuju ke Taman Selatan sebelum rebah di atas jalan,” katanya.

Tinjauan di rumah mangsa mendapati, terdapat sebuah kenderaan jenis Hummer berwarna kuning yang sudah siap dihiasi dengan riben dan anak patung dipercayai untuk digunakan bagi membawa mangsa ke majlis perkahwinannya semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan menyeluruh akan dijalankan.

Difahamkan, mangsa kini dirawat di sebuah hospital di Singapura atas permintaan keluarganya.  – kosmo


Scroll To Top