klpost2

‘Hadi hanya mencari isu untuk orang Melayu, sokongan Melayu bolehlah mereka menang’

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA TERENGGANU  –  Pemimpin Pas menjangka isu Amanat Haji Hadi yang sedang hangat diperkatakan ketika ini akan ‘senyap’ selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pengarah Penerangan Pas Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, isu tersebut sama sahaja dengan isu hudud yang dimainkan sebelum ini dan seringkali menjadi polemik menjelang musim pilihan raya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan isu-isu yang kerap kali dikitar semula membuktikan parti lawan tidak mempunyai modal politik lain untuk menarik sokongan pengundi pada PRU13.

“Isu amanat ini bila lepas pilihan raya akan senyaplah. Ia timbul dekat dengan pilihan raya. Macam isu hudud, apabila mereka lihat ‘tidak boleh makan’, mereka mainkan pula isu babitkan akidah,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau menjelaskan, Umno sebelum ini turut terperangkap dengan isu hudud apabila MCA turut memberi pendirian menentang hudud.

“Dia hanya mencari isu untuk orang Melayu kerana sokongan Melayu adalah aset untuk memastikan kemenangan mereka pada pilihan raya umum nanti,” katanya.

Mengulas isu Amanat Haji Hadi, beliau turut berpendapat tidak wajar untuk menghentam sebelah pihak tanpa diberikan peluang kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat penjelasan mengenai perkara itu.

Katanya, sekarang adalah masa yang sesuai memandangkan isu tersebut hangat dipertikaikan, di samping Abdul Hadi sendiri bersedia untuk memberi penjelasan berhubung isu tersebut.

Sehubungan itu, bagi menghentikan pertikaian yang berlaku katanya, kerajaan perlu menyambut secara terbuka kenyataan Presiden Pas untuk bersiaran secara langsung melalui televisyen bagi menjelaskan isu amanat.

“Keadaan ini jelas menghentam sebelah pihak dan sepatutnya dengarlah penjelasan daripada presiden sendiri. Sepatutnya kerajaan perlu terbuka untuk mendengar penjelasan beliau,” katanya.  – sinar harian