klpost

Guru besar didakwa salah guna kuasa

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Petra Jaya
– Seorang guru besar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah Kuching, hari ini, atas tuduhan penyalahgunaan kuasa, tahun lalu.

Ismail Idris, 58, didakwa mengarahkan Mazuri Catering untuk melantik Ismas Catering bagi membekalkan makanan yang dimasak di bawah kontrak Rancangan Makanan Tambahan untuk kontrak Sekolah Kebangsaan (SK) Gita 2, yang bernilai RM86,190.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ismas Catering ialah syarikat yang dimiliki oleh isteri tertuduh, Saloma Kipli.

Ismail didakwa melakukan kesalahan itu di Sekolah Kebangsaan Tan Sri Dr Sulaiman Daud (sebelum ini dikenali sebagai SK Gita 2) pada 1 Julai 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana menyalahgunakan kuasa, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

Peguam Khairil Azmi Hasbi, yang mewakili tertuduh, merayu kepada Mahkamah supaya tidak mengenakan jaminan tunai kepada anak guamnya kerana dia masih berkhidmat sebagai penjawat awam.

Hakim Nixon Kennedy Kumbong menetapkan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 28 September ini untuk pengurusan kes manakala perbicaraan kes pula ditetapkan selama tiga hari bermula 11 November ini.

Rasuah polis

Terdahulu di kamar mahkamah yang sama, seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah atas tuduhan menawarkan wang tunai RM2,000 kepada seorang pegawai polis di sebuah kafe di Jalan Lapangan Terbang di sini pada jam 6.11 petang pada 7 Oktober tahun lalu.

Wong Hunt Ping, didakwa cuba merasuah Inspektor Mohammad Harun dari Jabatan Siasatan Jenayah Negeri sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya yang didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Nixon menetapkan jaminan RM5,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 29 September ini untuk pengurusan kes dan perbicaraan pada 13 November hingga 15 November ini.

Pendakwaan bagi kes pertama dan kedua dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Ikhwan Mohd Ibrahim dan Timbalan Pendakwa Raya Low Chin How, masing-masing daripada SPRM, manakala Hunt Ping diwakili peguam Francis Wee. – BH Online