klpost

Gugurkan saman kerana pembaziran wang rakyat

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR – Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S Ambiga meminta kerajaan memberi perhatian berhubung lapan tuntutan Bersih berbanding isu saman.
Beliau juga menggesa kerajaan menghentikan permusuhan dan berharap Suruhanajaya Pilihan Raya (SPR) memberi kerjasama dengan mengambil kira segala tuntutan yang dikemukakan.

“Seharusnya kerajaan dan SPR perlulah memberi tumpuan kepada mesej Bersih 2.0 yang menuntut agar sistem pilihan raya ditambah baik untuk kesenangan seluruh rakyat daripada terus bermusuh dengan kami,” katanya

“Kami berharap saman ke atas kami digugurkan kerana ia merupakan pembaziran kepada wang rakyat.

“Kami juga berharap kerajaan mengambil maklum kepada realiti politik negara dan berurusan dengan kami sebagai wakil yang sah bagi rakyat yang mahukan pilihan raya yang bebas dan adil,” katanya dalam satu kenyataan bersama Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Selasa lalu membatalkan pengisytiharan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tahun lalu bahawa Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram.

Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk A Samad Said pula lega kerana ketidakadilan terhadap pertubuhan itu akhirnya terbela.

“Seluruh proses (mahkamah) ini membuang masa, tenaga, wang rakyat semata-mata untuk mengharamkan Bersih 2.0,” katanya.
Pak Samad berkata, arahan tersebut tidak konsisten dan tidak rasional malah keputusan untuk mengisytiharkan Bersih 2.0 adalah haram dilakukan dengan mengambil kira fakta-fakta yang tidak relevan.

“Adalah tidak munasabah bagi Menteri (Hishammuddin) menyatakan Bersih 2.0 sebagai haram dengan alasan ianya ‘membahayakan keselamatan negara’ tapi selepas itu, pihak berkuasa terus melakukan perundingan pada 5 Julai tahun lalu dan mengizinkan perhimpunan aman diteruskan pada 9 Julai,” katanya. – Keadilan