klpost

Geng Hong akhirnya jatuh di perangkap polis

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

 

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan Geng Hong yang dipercayai terbabit dalam 17 kes pecah rumah dan samun kereta, berikutan tertangkapnya tujuh anggota kumpulan itu, termasuk dua wanita di beberapa lokasi sejak 14 Jun lalu.

Penahanan anggota sindiket yang aktif melakukan jenayah sejak dua bulan lalu itu, turut membawa kepada penemuan lima kereta, termasuk dua BMW, Honda Odyssey dan Proton Savvy yang dipercayai dicuri mereka.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh, berkata polis menubuhkan satu pasukan khas selepas menerima banyak laporan berhubung kes pecah rumah dan samun kereta pada April dan Mei yang dipercayai dilakukan kumpulan sama.

 

Katanya, hasil risikan polis menahan tiga lelaki, termasuk ketua kumpulan dan dua wanita berusia 30-an di Genting Highlands pada 8 Jun lalu.

“Berikutan tangkapan itu, polis merampas lima kereta, komputer riba, jam tangan dan kamera, manakala dua lagi anggota sindiket itu ditahan di sekitar Cheras pada 14 Jun lalu.

“Siasatan polis mendapati modus operandi kumpulan itu ialah mengenal pasti rumah yang tidak berpenghuni sebelum memecah masuk dan melarikan kereta mangsa,” katanya di sini, semalam.

Mohan Singh berkata, dengan penahanan tujuh suspek terbabit polis percaya dapat menyelesaikan 17 kes pecah rumah dan samun kereta di Cheras, Brickfields, Kepong dan Gombak, seperti di laporkan di Berita Harian.

Dalam perkembangan lain, Mohan Singh berkata, seramai 55 individu ditahan membabitkan pelbagai kesalahan, termasuk positif dadah dan memiliki kenderaan curi, menerusi Ops Lejang yang dilakukan sepanjang 10 hari sehingga kelmarin.

Turut dirampas empat kereta dan 16 motosikal dipercayai hasil kegiatan curi. Semua mereka ditahan reman seminggu.