Friday , 24 October 2014

Gara-gara pinjam ah long, anak diugut akan dirogol

Professional valet service for all event
http://nusapark.com/

image1PUCHONG – Seorang remaja perempuan mendakwa hidupnya tidak tenteram berikutan satu sindiket pinjaman wang tidak berlesen mengugut akan menghantar lelaki warga asing untuk merogolnya.

Difahamkan, ia gara-gara sikap ibunya yang dikatakan suka membuat pinjaman wang daripada ceti haram sebelum menghilangkan diri.

Gadis berusia 19 tahun yang bekerja sebagai guru taska itu memaklumkan, Selasa lalu ketika sedang bekerja, dia menerima panggilan daripada seorang lelaki tidak dikenali.

Katanya, lelaki disyaki geng ah long itu memberitahu ibunya, Chong Seu Fonn, 43, ada membuat pinjaman namun gagal membuat pembayaran semula seperti sepatutnya.

Mangsa, Yip Ming Ming berkata, lelaki itu mendesak dia menjelaskan semua hutang ibunya, sekiranya tidak akan menghantar seorang lelaki Bangladesh untuk mencari dan merogolnya.

Selain itu katanya, lelaki terbabit juga mengugut akan menyimbah cat berwarna merah dan mengunci pintu rumahnya.

Akibat takut dengan ugutan itu, Ming Ming berkata, dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Putra Perdana, petang Selasa lalu.

“Saya mendapat tahu ibu yang memang tidak tinggal bersama ayah dan adik beradik saya  yang lain sejak dua tahun lalu ada membuat tiga kali pinjaman. Bagaimanapun saya tidak tahu berapa jumlah keseluruhan wang dipinjam daripada ceti haram itu.

“Lebih menghairankan, bagaimana ah long itu mengetahui nombor telefon dan membuat pelbagai ugutan kepada saya,” katanya.

Menurutnya, selain dirinya, jiran wanita yang menyewa di rumah bersebelahan turut diugut geng ah long terbabit.

Katanya, ibunya menyewa bilik di rumah jiran itu selepas berpisah dengan bapanya sejak dua tahun lalu.

Jelasnya lagi, ibunya menghilangkan diri sejak April dan tidak dapat dikesan sehingga kini.

“Ibu saya dipercayai menggunakan alamat rumah jiran ketika membuat pinjaman, disebabkan itu jiran wanita berkenaan turut menjadi mangsa ugutan mereka,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Selangor, Kuan Chee Heng yang menerima aduan mangsa menggesa geng ah long terbabit tidak mengganggu kedua-dua mangsa.

Menurutnya,  keluarga mangsa sudah memutuskan hubungan dengan wanita yang meminjam wang itu.

Malah katanya, mangsa tidak sepatutnya diganggu kerana bukan dia yang meminjam wang.

Beliau berkata, sejak ketiadaan undang-undang pencegahan, sindiket ceti haram dilihat berleluasa dan berani mengugut mangsa secara bertalu-talu sehingga mendatangkan kerunsingan teruk.

“Saya akan bekerjasama dengan mangsa dan polis untuk menangani segala ugutan yang dilakukan geng ah long terbabit,” katanya. – SH

Scroll To Top
banner