klpost2

Gajah mengganas, pembalak diarah henti

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

JERANTUT  –  Pengusaha dan pekerja pembalakan di kawasan hutan terpencil di negeri Pahang dinasihatkan memberhentikan kerja mereka pada musim banjir ini.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Supt. Azad Ismail berkata, pengusaha dan pekerja berkenaan diingatkan supaya meninggalkan rumah kongsi di kawasan pembalakan mereka bagi mengelak daripada terkandas akibat banjir dan serangan gajah liar.

Beliau memberi nasihat tersebut berikutan kejadian seorang warga emas, Thong Weng Chun, 80, ditemui mati dalam keadaan berulat di sebuah kongsi balak di Bukit Harimau Ulu Tembeling, dekat sini pada 22 Disember lepas.

Azad berkata, mayat lelaki itu dijumpai dalam rumah kongsi tersebut yang separuh ranap dipercayai dipijak sekumpulan gajah liar.

“Banyak tompokan najis gajah dijumpai sekitar rumah kongsi itu, dan mangsa dipercayai mati lima hari sebelum mayatnya dijumpai,” katanya di sini hari ini.

Menurut Azad, mangsa menjaga rumah kongsi balak itu seorang diri dan pekerja pembalakan lain bercuti kerana keadaan kawasan itu banjir. — BERNAMA