Tuesday , 16 September 2014

Gajah liar masuk kampung – penduduk risau

Professional valet service for all event
http://nusapark.com/

BALING – Lebih 60 keluarga di Kampung Padang, Rambong,Batu 7 dekat sini kini dalam kebimbangan akibat sekumpulan gajah liar berkeliaran di  kawasan kampung mereka terutama di waktu malam sejak seminggu lepas.
Penduduk kampung mendakwa walaupun ada anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) meninjau kawasan yang dimusnahkan gajah tetapi hingga kini tiada sebarang tindakan dibuat, seperti mengusir gajah berkenaan kembali ke rimba berdekatan.

Tinjauan Bernama mendapati kebimbangan penduduk di sini mempunyai asas kerana gajah berkenaan memusnahkan pokok pisang yang terletak tidak sampai 50 meter di belakang sebuah rumah penduduk kampung.

Hingga kini, lebih 50 pokok termasuk pisang, kelapa, rumbia dan pinang dimusnahkan oleh kumpulan gajah itu.

Seorang penduduk, Omar Mat Rejab, 60, berkata dia dan keluarganya amat bimbang kerana gajah sering berkeliaran di belakang rumahnya sejak dua hari lalu dan memusnahkan beberapa batang pokok pisang.

Katanya beberapa hari lalu, gajah itu berada dalam jarak 200 meter dari rumahnya, tetapi sejak dua malam lalu haiwan itu semakin mengganas.

Kami amat bimbang dengan keadaan yang berlaku serta meminta pihak Perhilitan bertindak segera sebelum berlaku kejadian yang boleh meragut nyawa,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Ramli Awang Kecik, 39, berkata setiap malam penduduk yang tinggal berdekatan kawasan yang sering dilalui gajah hanya mampu berjaga di kawasan rumah masing-masing dengan menyalakan unggun api bagi menghalau gajah daripada menghampiri rumah mereka.

Beliau mahu pihak berkenaan bertindak lebih tegas sebelum sesuatu kejadian buruk menimpa penduduk di sini termasuk dicederakan gajah.

Sementara itu lebih 30 penoreh getah di kampung ini tidak berani pergi menoreh di kebun getah kerana bimbang terserempak dengan kumpulan gajah liar itu.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayu Datuk Azmi Che Husain yang meninjau ke kawasan itu mahu tindakan segera dibuat oleh Perhilitan bagi menghalau kumpulan gajah itu kembali ke dalam rimba.

“Melihat keadaan yang berlaku, saya bimbang dengan keselamatan penduduk di kampung itu akibat kumpulan gajah liar yang semakin dekat menghampiri rumah penduduk di sini,” katanya yang turut bersimpati dengan nasib penoreh getah di kampung berkenaan yang tidak dapat keluar menoreh. – Bernama

Scroll To Top