klpost

Gagal mengembirakan Perdana Menteri – Empat pengarah diarah berpindah

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR – Gara-gara sambutan suram terhadap ucapan Perdana Menteri dalam perhimpunan Hari Koperasi Negara 2012 baru-baru ini, empat Pengarah Jabatan Pembangunan Koperasi Negeri di empat buah negeri diarahkan berpindah ke negeri lain.

Surat arahan yang dikeluarkan dalam notis singkat itu diserahkan kepada empat pengarah tersebut dua hari selepas sambutan Hari Koperasi yang dianggap gagal dan mengecewakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Datuk Seri Ismail Sabri sebagai menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Pembangunan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna harus menjawab perkara ini.

“Mengapa beliau mengarahkan pertukaran empat Pengarah Jabatan Pembangunan Koperasi Negeri bagi negeri Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pahang hanya semata-mata beliau gagal mengembirakan PM,” kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Empat Pengarah Jabatan Pembangunan Koperasi Negeri yang terbabit adalah, Pengarah bagi negeri Pahang, Zazali Harun, Osman Ismail (Terengganu), Zainun Hamzan Setapa (Kedah) dan Suhaimi Abd Rahman (Negeri Sembilan).

Selain empat nama tersebut, Pengerusi Eksekutif, Yusuf Shamsuddin dan Timbalan Pengerusi Lembaga Koperasi Malaysia, Hajah Hawa Mohd Saleh juga bakal dikenakan tindakan.

Mahfuz menganggap keputusan itu sebagai keputusan yang tidak menghormati kakitangan awam yang sedaya upaya melaksanakan tugas mereka dengan baik.

“Adakah kerana pengarah tersebut dianggap gagal membawa orang ramai datang ke sambutan itu menyebabkan mereka ditukar?” kata Mahfuz lagi dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur tengahari tadi.

Mahfuz turut memberitahu, pihak kementerian menyasarkan seramai 100 ribu orang akan hadir dalam sambutan tersebut.

Bagaimanapun bilangan orang ramai yang hadir pada hari itu terlalu jauh dari sasaran sekaligus menimbulkan kekecewaan Najib.

Selain jumlah kedatangan orang ramai yang menghampakan, audien juga bertindak dengan memalukan Najib apabila membunyikan ‘air horn’ dan tidak mempedulikan Najib ketika menyampaikan ucapan.

Menurut Mahfuz, dalam majlis itu, Najib tepaksa meminta orang ramai dalam majlis agar diam ketika mendengar ucapan beliau.

Malah ramai peserta perhimpunan tersebut telah bertindak meinggalkan dewan ketika Najib masih sedang berucap.

Ekoran itu, Ismail Sabri dikatakan terpaksa memohon maaf kepada Perdana Menteri dalam mesyuarat Kabinet minggu lepas. – SelangorKu