klpost

Fizz Fairuz kareer, cinta dan segalanya

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KONTROVERSI bermula apabila jejaka ini mengutarakan niatnya kepada media untuk melangkah ke alam rumah tangga. Bagaimanapun jawapan yang diterima pihak kekasih meleraikan segalanya. Dan dari situ bermulanya episod cinta tidak pasti antara dua pelakon ini.

Sehingga kini hubungan di antara Fizz Fairuz dan Almy Nadia masih lagi menjadi tanda tanya, sama ada niat suci Fizz masih lagi akan diteruskan juga sering kali berakhir dengan jawapan tidak pasti oleh mereka. Bertemu dengan pemilik nama Fairuz Zainal Abidin,33, ini ketika hadir ke pelancaran filem lakonannya berjudulHantu Kapcai di Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini Fizz terus di asak soalan yang sama.

Masih enggan mendedahkan status hubungan mereka berdua, namun Fizz nampaknya lebih tenang menjawab persoalan yang bermain di benak pihak media.

“Kami masih lagi berkawan. Bagaimanapun soal kahwin saya tidak mahu sentuh lagi.

“Mungkin serik, buat masa ini saya mahu tumpukan perhatian buat kerjaya saya,” katanya yang memegang watak sebagai jejaka bernama Ibrahim di dalam filem tersebut.

Tidak menolak jodoh, bagi Fizz dia serahkan segalanya kini kepada kuasa Allah. Bukan mahu menidakkan hubungan yang sudah lama terjalin, namun dia dan Almy kini bebas menentukan masa depan sendiri.

” Tipulah saya tidak mahu mempunyai keluarga sendiri, saya memang mahu mempunyai anak. Namun buat masa ini biarlah kami berdua mengukuhkan kerjaya masing-masing dahulu.

“Dalam pada itu kami juga masih bebas untuk mendapatkan jodoh yang terbaik,” katanya tersenyum.

Mengutamakan pendapat ibunya dahulu dalam soal penting ini, menurut Fizz kontroversi yang berlangsung sejak awal Mei lalu sedikit sebanyak memberi persepsi yang negatif kepada kedua belah keluarga mengenai hubungannya mereka.

“Mungkin kami perlukan masa untuk meredakan semua yang berlaku, bukan sahaja buat pihak kami tetapi keluarga juga.

“Mereka baca apa yang berlaku melalui akhbar dan percaya. Bila ia sudah sampai kemuncak menjadi tanggungjawab kami untuk menerangkan apa yang sebenarnya yang berlaku,” katanya yang akan tetap mengutamakan ibunya sebelum membuat keputusan berkahwin.

Hampir Buta

Berkongsi pengalamannya berlakon di dalam filem terbarunya ini, menurut Fizz sepanjang penggambaran Hantu Kapcai ini berlangsung dia sebenarnya sedang menderita dijangkiti kuman di kedua belah mata. Walaupun keadaan matanya teruk namun tetap gigih meneruskan penggambaran filem tersebut yang kebanyakannya berlangsung di Kuang, Selangor.

“Penggambaran ini berlangsung bulan tujuh tahun 2011, dan saya dijangkiti pada minggu pertama penggambaran. Doktor memberitahu saya mungkin buta kerana urat di bahagian mata saya kian menipis.

“Memandangkan penggambaran terpaksa diteruskan saya terpaksa berlakon di dalam keadaan yang tidak selesa,” katanya tahap keadaan matanya itu semakin teruk kerana terpaksa berhadapan dengan lampu yang terang sepanjang di tempat penggambaran.

Mengakui kurang berpuas hati dengan lakonannya di dalam filem ini, menurut Fizz dek kerana matanya itu dia terpaksa memakai cermin mata gelap dan ini menyebabkan dia terpaksa membataskan setiap pergerakan ketika berlakon.

“Saya akui kurang berpuas hati dengan lakonan saya di dalam filem ini, ialah dengan keadaan mata begitu ia sungguh tidak menyenangkan.

“Di dalam mengelakkan keadaan mata saya yang sedang membengkak itu menganggu proses penggambaran saya juga terpaksa memakai cermin mata. Walaupun begitu saya tetap bersyukur kerana pengarah filem ini Ghaz Abu Bakar tetap berpuas hati dengan lakonan saya,” katanya tentang filem yang bakal di tayangkan bermula 27 September ini.

Beberapa bulan mengalami sakit mata ini Fizz memberitahu sepanjang waktu itu juga dia tidak mampu memandu kerana penglihatannya kabur.

“Bayangkan nak baca skrip pun agak payah. Kerana tak nampak, jadi saya terpaksa meminta bantuan orang membacakan skrip untuk saya.

“Malah untuk ke tempat penggambaran juga saya terpaksa mengupah orang untuk memandu, jadi situasinya agak teruk,” katanya yang pernah mengalami penyakit mata sebelum ini namun kali ini adalah yang paling teruk.

Terus berikhtiar di dalam memulihkan semula matanya, menurut Fizz ada suatu ketika dia memilih untuk menggunakan rawatan tradisional.

“Saya diberitahu untuk menggunakan air kencing pertama waktu pagi. Sesudah itu air tersebut dititiskan di dalam mata sebelum dibasuh.

“Percaya atau tidak selepas tiga hari berturut-turut melakukannya, mata saya semakin baik,” katanya. – Utusan