klpost

Farid Kamil mengaku tak bersalah

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Petaling Jaya
– Pelakon dan pengarah filem, Datuk Farid Kamil Zahari mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas empat pertuduhan termasuk menampar seorang anggota polis trafik di Balai Polis Kota Damansara, Khamis lalu.

Farid, 37, yang memakai baju-T berwarna kelabu mohon dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Farid didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Ashraf Ahmad dan Konstabel Mohd. Nizam Jamaluddin, 23.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, Farid didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap Konstabel Mohd. Nizam Jamaluddin sebagai pegawai dengan niat menghalangnya melakukan tugas.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pertuduhan keempat, Farid didakwa berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap Konstabel Mohd. Nizam Jamaluddin sehingga boleh mendatangkan kemarahan.

Pelakon itu didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang memperuntukan denda tidak lebih RM500 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di kaunter Balai Polis Kota Damansara di sini pada pukul 1.20 petang, 11 Januari lalu.

Bagaimanapun, beliau bebas dengan jaminan polis bagi kes positif ganja.

Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik memohon jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Namun, peguam bela Athari Bahardi yang mewakili Farid dalam rayuannya memohon jaminan yang kurang iaitu RM8,000 bagi kesemua pertuduhan.

“Keluarga tertuduh menyediakan jumlah RM8,000 untuk jaminan. Tertuduh merupakan pelakon dengan pendapatan tidak menentu selain turut menanggung isteri serta dua orang anak,” katanya.

Mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Mac hadapan untuk sebutan semula kes.

Beliau dilaporkan membayar jaminan tersebut.

Terdahulu, dalam prosiding itu, Farid kelihatan tenang ketika berada di dalam kandang tertuduh selain turut mendapat sokongan daripada isterinya, Datin Diana Danielle, 27.

Baru-baru ini melaporkan, pelakon terbabit dibawa oleh seorang lelaki ke Balai Polis Kota Damansara untuk membuat aduan berkaitan satu kemalangan jalan raya.

Bagaimanapun, ketika berurusan di kaunter balai polis terbabit, pelakon berkenaan secara tiba-tiba menampar muka polis lelaki yang menerima aduan itu selain menendang dua orang awam yang berada di kaunter balai polis tersebut.

Pelakon itu juga bertindak aneh sekali lagi apabila menunjukkan paparan mesej pada telefon bimbitnya yang tertera 300 artis didakwa meminjam dengan ah long kerana tiada kerja. – Kosmo