klpost

Farid Kamil mahu kemuka representasi gugur semua pertuduhan

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Petaling Jaya
– Pelakon dan pengarah filem terkenal Datuk Farid Kamil Zahari bercadang mengemukakan representasi ke Jabatan Peguam Negara bagi menggugurkan enam pertuduhan yang dihadapinya termasuk mencederakan anggota polis, menggunakan dadah dan mereka keterangan palsu dalam laporan polis.

Peguam Faizul Mohd Nasir, yang mewakili Farid Kamil, 37, memaklumkan perkara itu semasa sebutan semula enam pertuduhan yang dihadapinya di dua Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Di hadapan Majistret Salamiah Salleh dan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham, peguam itu memberitahu bahawa pihak pembelaan memerlukan masa untuk meneliti dokumen berkaitan kes yang diterima daripada pihak pendakwaan dan berkemungkinan mengemukakan representasi.

Beliau kemudian memohon satu tarikh sebutan baharu iaitu selepas Farid Kamil, yang juga suami kepada pelakon popular Datin Diana Danielle, selesai menjalani pembedahan lutut di sebuah hospital di Damansara pada 15 Mei ini.

“Pohon tarikh sebutan yang bersesuaian kerana anak guam saya akan menjalani pembedahan lutut dan mengambil masa untuk proses penyembuhan,” kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee dan Fazeedah Faik tidak membantah permohonan peguam itu.

Kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan 26 Jun untuk sebutan semula kes bagi enam pertuduhan tersebut.

Terdahulu, Farid Kamil yang memakai kemeja putih lengan panjang dan seluar denim biru, tiba di mahkamah kira-kira 9.30 pagi bersama-sama pengurusnya dan beberapa rakan lelaki.

Pada 16 Jan lepas, Farid Kamil mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu dua pertuduhan mendatangkan cedera, menggunakan kekerasan jenayah dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Farid didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Ashraf Ahmad, 35, seorang eksekutif akaun syarikat swasta dan Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin, 24, seorang anggota polis.

Bagi pertuduhan ketiga, Farid Kamil didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap Muhammad Nizam sebagai seorang penjawat awam yang sedang menjalankan tugas sebagai pegawai polis dengan niat menghalang beliau menjalankan tugasnya yang sah di sisi undang-undang.

Bagi pertuduhan keempat, dia didakwa berkelakuan tidak senonoh di dalam balai polis dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan kepada Muhammad Nizam.

Pada 25 Jan lepas, Farid Kamil dituduh menggunakan dadah jenis tetra hydrocannabinol atau THC dan pada 9 Mac pula, bapa kepada dua orang anak itu didakwa mereka keterangan palsu dan tidak benar di dalam laporan polis berhubung dianiaya tiga rakan artis yang meletakkan dadah ke dalam minumannya. – Bernama