klpost4

Enam samseng jalanan dicekup

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

SHAH ALAM  –  Polis Selangor menahan enam lagi lelaki berusia antara 17 hingga 22 tahun dalam operasi berasingan semalam dan awal pagi tadi bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang mekanik di Selayang Baru awal pagi semalam.

R.Kumaran, 31, mati ditikam di rusuk kirinya semasa diserang sekumpulan pemuda di hadapan sebuah rumah kedai di Selayang Baru pada jam 3 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, sebelum ini dua suspek lelaki berusia 21 dan 22 tahun sudah ditahan di Jalan Bukit Idaman Selayang, pada jam 11 pagi semalam.

Dengan ini, seramai lapan suspek ditahan bagi membantu siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengenai rentetan penangkapan itu, Mohd Adnan berkata, dua suspek berusia 19 dan 21 tahun diberkas di Taman Pinggiran Indah, Selayang Indah pada 12 tengahari semalam dengan seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

Sementara itu dalam operasi awal pagi tadi, beliau berkata, seorang suspek berusia 21 tahun diberkas pada jam 1.40 pagi tadi di hadapan sebuah hotel di Jalan Putra, Kuala Lumpur.

Kemudian seorang lagi suspek berusia 22 tahun diberkas di Kampung Selayang Indah Batu Caves pada 2 pagi tadi, sebelum seorang lagi berusia 17 tahun di tahan di Jalan 52 Selayang Baru, Batu Caves pada jam 3.30 pagi.

Penahanan terakhir pada jam 3.45 pagi melibatkan seorang lelaki berusia 19 tahun juga di Selayang Baru, Batu Caves, katanya menambah polis kini, sedang mencari dua lelaki bagi membantu siasatan kes itu.  –  BERNAMA

(Gambar sebagai Illustrasi)