klpost

Eksekutif IT didenda RM2,500 miliki klip video lucah

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Kuala Lumpur
– Gara-gara memiliki dua klip video berunsur lucah, seorang eksekutif teknologi maklumat didenda RM2,500 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu terhadap Khoo Teng Chong, 32, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dua klip video berunsur lucah di Aras 2, Bangunan Pavilion, Jalan Bukit Bintang di sini pada 1.20 tengah hari, 9 Ogos lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam Norizan Yaacub yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dan denda paling minimum atas alasan anak guamnya menanggung ibu bapanya dan keluarga.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian pengadu dimaklumkan oleh pusat kawalan polis bantuan ada seorang lelaki merakam bawah skirt seorang perempuan di tangga eskalator bangunan tersebut dengan menggunakan telefon bimbitnya.

Pengadu berjaya menangkap tertuduh dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua klip video rakaman tersebut di dalam telefon bimbitnya.– Bernama