Administrator

ECRL satu projek yang tidak munasabah ,kerugian besar – Prof Dr Jomo

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR –  Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Pelabuhan Klang dengan bandar-bandar utama di Pantai Timur Semenanjung Malaysia dilihat sebagai satu projek yang tidak munasabah.

Menurut pakar ekonomi Prof Dr Jomo Kwame Sundaram, Malaysia akan menanggung segala risiko dalam menyelesaikan hutang terbabit bersama faedah dalam tempoh dua dekad.

Malah, Prof Jomo turut mempersoalkan mengapa sistem landasan kereta api sedia ada tidak boleh dipakai.

Pada masa sama, beliau meragui jika jumlah penumpang dan muatan mencukupi bagi menyokong pembinaan laluan rel berkelajuan tinggi itu.

“Kita hanya perlu mempercepatkannya, bukan membangunkan kereta api laju atau kereta api bullet.

“Kereta api laju ini untuk siapa? Adakah orang dari Kota Bharu atau Kelantan akan datang kerja setiap hari di Kuala Lumpur?” katanya.

Sebelum ini, memetik laporan Malaysiakini, projek ECRL ini dilapor menelan belanja lebih RM60 bilion di mana RM55 bilion daripadanya akan dipinjamkan oleh bank dari China dengan kadar bunga rendah.

Kata Jomo, pinjaman yang dibuat Malaysia daripada Export-Import Bank of China (Exim Bank) akan digunakan untuk membayar China Communications Construction Company (CCCC), kontraktor utama ECRL.

“Pembayar cukai Malaysia sudah pasti akan menjadi penjamin bagi pinjaman itu,” katanya lagi.

Menurut Jomo, justifikasi membangunkan ECRL adalah bagi menampung hampir 60 juta tan muatan setiap tahun menjelang 2035.

“Ini sesuatu yang luar biasa memandangkan KTM hanya membawa kira-kira enam juta tan setahun dalam keseluruhan rangkaiannya di seluruh negara,” katanya.

“Jika lonjakan besar dalam jumlah kargo yang diunjurkan tidak menjadi kenyataan, projek itu akan kerugian besar, bermaksud pembayar cukai untuk generasi seterusnya perlu membayar hutang projek ECRL,” jelasnya.

Prof Jomo ialah ahli Majlis Penasihat Kerajaan yang berfungsi menasihati kerajaan mengenai ekonomi dan kewangan.

Ahli majlis yang lain terdiri daripada bekas menteri kewangan dan ahli perniagaan Tun Daim Zainuddin; bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; bekas Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Merican; tokoh korporat, Tan Sri Robert Kuok. – Astro Awani