klpost

Dua jawatan utama negara, Perdana menteri dan Timbalan Perdana Menteri

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

PUCHONG – Dominasi kerusi di dalam Parlimen dan di dalam pengurusan syarikat strategik seperti Petronas dan Sime Darby adalah antara bukti yang Melayu akan terus memegang tampuk pemerintahan negara walaupun Umno kalah.

Aktivis gerakan Asalkan Bukan Umno (ABU), Al-Jafree Md Yusop menegaskan, momokan orang Melayu akan kehilangan kuasa sering digunakan Umno untuk menakutkan rakyat.

Ini bagi membolehkan Umno terus berkuasa dan memburukkan parti lain kononnya status dan masa depan orang Melayu sedang terancam.

Mengikut statistik, hampir 80 peratus daripada kerusi 222 Parlimen dan 576 kerusi Dewan Undangan Negeri dikuasai oleh wakil rakyat Melayu.

Ini termasuk dua jawatan utama negara, Perdana menteri dan Timbalan Perdana Menteri, kata Al-Jafree.

Sebaliknya, jika Melayu sekarang lemah, bererti Umno gagal dalam membangunkan Melayu selama 55 tahun pemerintahannya.

“Kalau betul melayu lemah maknanya teruklah Umno sebab secara jelas kuasa di tangan mereka.

“Ini bukan salah pembangkang, tapi salah mereka kerana mereka yang memerintah,” katanya dalam program wawancara Terus Terang terbitan TV Selangor.

Bagi aktivis ABU, Haris Ibrahim, sasaran serangan ditujukan kepada Umno dan bukannya Barisan Nasional (BN) kerana Umno merupakan parti dominan dalam gabungan berkenaan.

Katanya lagi, dengan melumpuhkan Umno, maka BN akan ditumbangkan.

ABU dilancarkan pada 15 Disember 2011 dengan memberi fokus terhadap empat kepincangan pemerintahan Umno-BN iaitu kenaikan harga barang, undang-undang zalim, politik perkauman dan pembinaan loji nadir bumi Lynas.- SelangorKu