klpost

“Diam”,muka ditendang,parang dileher

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

DUNGUN  –  “Saya tidak berani mendongak untuk melihat wajahnya selepas muka saya dua kali disepak penyamun itu,” kata Mohd Fazrin Ibrahim, 18, menceritakan detik cemas kejadian samun kedai 24 jam di Pulau Serai, dekat sini, semalam.

Mohd Fazrin berkata, ketika kejadian dia bersama rakannya, Mohd Ikram Mohd Sani, 19, bertugas syif malam di kedai itu apabila dua lelaki bersenjatakan parang panjang masuk jam 4.13 pagi.
“Saya serta rakan berada di belakang dan apabila loceng berbunyi, saya berjalan ke kaunter. Tiba-tiba seorang lelaki yang bersenjatakan parang menerpa ke arah saya,” katanya yang ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurutnya, lelaki itu mencekak leher baju rakannya manakala dia diarah membongkok sambil lelaki itu meletakkan parang pada lehernya.

“Rakan suspek menyelongkar laci wang di kaunter depan.

“Dia meminta kami diam, tidak bergerak dan menurut perintahnya sambil memberi amaran mencederakan kami jika ingkar,” katanya.

Mohd Fazrin mengangkat mukanya ke arah penyamun terbabit untuk melihat wajahnya, tetapi dua tendangan daripada lelaki itu singgah ke mukanya.

“Selepas memperoleh RM3,000, kedua-dua penyamun itu melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal yang disorok di belakang kedai,” katanya.

Sementara itu, pengurus kedai terbabit, Wan Ahmad Rizal Mohd Yusof, 35, berkata, dia yang tinggal di Taman Rakyat di sini, bergegas ke premis sebaik menerima panggilan daripada dua pekerjanya.
“Sebahagian wang jualan tidak sempat dimasukkan ke bank dan saya segera ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk membuat laporan,” katanya.  – metro

 

(Gambar sebagai ilustrasi sahaja)