klpost2

Demi anak berdua, ibu bapa paksa berkorban

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUANTAN  –  Seorang bapa sanggup berhenti kerja semata-mata untuk menjaga dua anak istimewanya, Abdel Danial Arfan, 16, dan Abdel Aqil Arfan, 14, bagi memberikan hanya yang terbaik mereka.

Roziman Omar, 45, berkata, jika dilihat dari mata kasar, tiada apa yang kurang mengenai dua anak lelakinya itu.

“Tiada kecacatan ketara dan kekal dilihat daripada pandangan mata namun mereka sebenarnya dilahirkan sebagai anak autisme,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tengah, di sini kelmarin.

Katanya, dia pernah bertugas di sebuah hotel terkenal, di sini tetapi selepas kehadiran dua anak istimewanya itu, dia rela berhenti kerja supaya sentiasa dekat dengan anaknya.

“Saya sudah sepakat dengan isteri untuk berhenti kerja memandangkan kesihatan saya juga tidak begitu mengizinkan.

“Saya menghidap darah tinggi, sakit jantung, masalah buah pinggang dan gout,” katanya.

Kata Roziman, hidup mereka sekeluarga kini bergantung sepenuhnya kepada isteri, Rohaini Abu Bakar, 45, yang bekerja sebagai kerani di syarikat guaman.

Abdel Danial dan Abdel Aqil juga mempunyai seorang abang, Abdel Arif Arfan, 22 serta dua orang kakak, Azian Afni, 21, dan Amira Afni, 18.

“Tidak seperti anak sindrom down atau kecacatan lain yang kekurangan mereka orang akan nampak, tapi anak istimewa autisme orang tidak boleh kenal, kecuali sudah ada pengalaman dengan keadaan mereka itu.

“Kami kesal kerana hanya dapat mengesan ketidaksempurnaan Abdel Danial ketika dia berusia tiga tahun. Ketika itu, dia masih tidak boleh menyebut perkataan ‘mama’ atau ‘papa’. Saya rasa tidak sedap hati dan terus membawanya berjumpa doktor,” katanya.

Roziman berkata, melalui pengalaman menjaga Abdel Danial, bapa kepada lima anak ini berjaya mengesan penyakit yang sama menimpa Abdel Aqil lebih awal iaitu ketika berusia satu tahun.

“Walaupun kedua-duanya mengalami masalah sama, namun Abdel Danial langsung tidak boleh bercakap hingga sekarang. Abdel Aqil pula boleh bercakap, tetapi semua perkataan yang keluar itu berdasarkan apa yang didengar di televisyen.

“Abdel Aqil suka menonton kartun. Dia boleh ingat setiap perkataan yang didengarnya. Lebih unik lagi, dia hanya memahami bahasa Inggeris hinggakan kadangkala saya terpaksa menggunakan bahasa itu untuk berinteraksi dengannya,” katanya.

Menurut Sinar Harian, kesedihan keluarga ini sedikit terubat selepas menerima sumbangan barangan keperluan dapur daripada Adun Teruntum, Datuk Chang Hong Seong.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tengah/Kampung Jawa, Hazman Jaafar.

Menurut Hong Seong, pihaknya akan cuba mendapatkan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan beban keluarga ini.

“Kita akan bantu apa yang termampu dan saya harap keluarga ini terus tabah membesarkan Abdel Danial dan Abdel Aqil dengan baik,” katanya.