klpost

Datuk Nicol selangkah lagi untuk merangkul gelaran kelapan

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

PETALING JAYA – Ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David hanya selangkah lagi untuk merangkul gelaran kelapan Kejohanan Terbuka CIMB Malaysia 2012 apabila melangkah ke final esok.
Pada pertemuan separuh akhir di pusat membeli-belah ‘The Curve’ di sini malam ini, Nicol mengambil masa 52 minit untuk mengatasi Laura Massaro dari England dengan keputusan 10-12, 11-6, 11-7, 11-8.

Bagaimanapun, bintang muda negara Low Wee Wern gagal meneruskan kejutan apabila tumpas kepada pemain nombor dua dunia, Raneem El Weleily.

Pemain berusia 22 tahun itu, bagaimanapun, memberi tentangan sengit selama 64 minit sebelum akur kepada pemain Mesir itu dengan keputusan 11-8, 9-11, 11-9, 9-11, 11-9 pada saingan separuh akhir.

Nicol, yang memiliki status pemain nombor satu dunia, akan berdepan dengan Raneem pada perlawanan akhir.

“Perlawanan hari ini amat baik sekali dengan suasana gelanggang yang lebih kondusif dan permainan yang lancar. Saya tidak sabar untuk satu lagi perlawanan mantap esok,” kata Nicol.

“Saya tidak mahu memikirkan soal gelaran kelapan dan hanya mahu memberi tumpuan pada setiap perlawanan,” jelasnya.

Pertemuan akhir antara Nicol dan Raneem adalah kali kedua selepas Nicol menang pada Terbuka Hong Kong tahun lepas.

Mengikut statistik, Nicol memenangi kesemua tujuh pertemuan dengan Raneem sebelum ini.

Terdahulu itu, dalam kategori lelaki, Mohammed El Shorbagy dari Mesir akan menentang rakan senegara Tarek Momen pada final.

Pada saingan separuh akhir, Mohammed menumpaskan Nicholas Mueller dari Switzerland 11-13, 11-7, 10-12, 11-8, 11-8 manakala Tarek mengatasi pemain dari Sepanyol, Borja Golan, 13-15, 11-7, 11-6, 11-6.

    JADUAL FINAL ESOK:
——————

Lelaki:
——
[2] Mohammed El Shorbagy (EGY) mln Tarek Momen (EGY) – 3 petang

Wanita:
——
[1] Nicol Ann David (MAS) mln [2] Raneem El Weleily (EGY) – 4 petang
— BERNAMA