klpost2

Datang nak lerai, tapi dia yang hangatkan pergaduhan pasangan

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA TERENGGANU  –  Berang tegurannya agar berhenti berkelahi tidak diendahkan oleh sepasang suami isteri yang juga merangkap jirannya, seorang lelaki ‘naik hantu’ apabila nekad membelasah ‘si suami’, dalam satu kejadian di Kampung Gelugor Kedai, Chabang Tiga, di sini, malam Ahad lalu.

Bagaimanapun, suspek berusia 30 tahun dan beralamat dari Kampung Gelugor Kedai, Chabang Tiga, di sini, ditangkap polis di kediamannya, malam kelmarin, susulan laporan dibuat oleh mangsa beberapa jam selepas kejadian.

Menurut sumber, kejadian berlaku apabila suspek cuba masuk campur untuk meleraikan pergaduhan pasangan suami isteri yang ketika itu agak tegang.

“Suspek pada awalnya cuba menegur secara baik kepada pasangan suami isteri berkenaan yang sedang bergaduh di hadapan rumah kerana menganggap perbuatan mereka akan memalukan seluruh kampung.

“Namun, mangsa yang tidak suka suspek masuk campur urusan rumah tangganya cuba bertindak kasar mengacah akan melanggar suspek dengan kereta dipandunya,” katanya.

Katanya, tindakan mangsa itu menyebabkan suspek naik angin sebelum bertindak membelasah mangsa menggunakan tangannya dan turut dipercayai suspek telah merosakkan kereta mangsa dengan memecahkan cermin kereta.

Mangsa yang tidak berpuas hati dengan perbuatan suspek itu telah mengambil keputusan membuat laporan polis beberapa jam kemudian.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi semalam mengesahkan kejadian dan tangkapan suspek.

Katanya, suspek kini direman selama empat hari bermula semalam untuk disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera.

Bagi kesalahan itu, suspek boleh dipenjarakan sehingga setahun atau denda hingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.  – sinarharian