SK

DAP mengajak Presiden MIC duduk bersama menyelesaikan perobohan kuil Hindu Sri Muniswaran

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR (18 Mei) : Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guang Eng mengajak Presiden MIC Senator Datuk Seri G. Palanivel duduk bersama bagi menyelesaikan isu perobohan kuil Hindu Sri Muniswaran.

Lim Guang Eng dalam suratnya kepada Palanivel berkata, perjumpaan tersebut sebagai usaha mencari jalan bagi membina semula kuil berkenaan agar dapat membela martabat kaum India dan agama Hindu khususnya di Negeri Pulau Pinang.

“Pertemuan boleh diadakan di pejabat saya di Pulau Pinang atau pejabat Senator Datuk Seri di Putrajaya,” katanya.

Guang Eng juga menafikan kerajaannya terlibat dalam perobohan kuil berkenaan sebaliknya ia adalah tindakan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) yang terletak di bawah Kerajaan Persekutuan.

“Yang sepatutnya meminta maaf bukanlah Saya tetapi YB Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya sebagai Pengerusi PPSB dan YBhg. Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek sebagaě Pengerusi (Penang Port Commission) PPC,” jelas Guang Eng.

Beliau juga memaklumkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang memandang serius dan mengutuk tindakan PPSB dan PPC kerana tidak menghormati sensitiviti agama dengan membenarkan kuil yang menjadi tempat ibadat pekerja-pekerja India PPSB yang terletak di Prai BCT dirobohkan.

Terdahulu, Palanivel dalam kenyataan di sebuah akhbar Bahasa Inggeris mendesak Guang Eng meminta maaf ekoran kenyatannya dalam Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang berkaitan dengan perobohan  Hindu Sri Muniswaran oleh PPSB pada 20 April 2012 tanpa sebarang notis diberikan.

Bagaimanapun, Guang Eng menegaskan beliau membuat kenyataan tersebut ekoran keengganan Adun Umno Hilmi Yahya meminta maaf dalam mesyuarat Dun kepada kaum penganut agama Hindu atas kesilapan itu apatah lagi masih tidak membina semula kuil tersebut.  – HarakahDaily